DELPH belum beraksi dalam kesebelasan utama Citizen.
DELPH belum beraksi dalam kesebelasan utama Citizen.

London: Pemain tengah Manchester City, Fabian Delph mungkin diketepikan hingga sembilan aksi buat kelab dan negara selepas dia mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan England ke atas Switzerland pada kelayakan Euro 2016, awal pagi kelmarin, lapor media Britain.

Delph belum lagi tampil dalam kesebelasan utama buat kelabnya sejak melengkapkan perpindahan dari Aston Villa kerana kecederaan hamstring dialaminya ketika persahabatan pramusim, sekalipun dia sudah tampil dua kali buat pasukan Manuel Pellegrini sebagai pemain gantian.

Pemain berusia 25 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit pertama ketika England menang 2-0 di Wembley dan dijangka terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus dan Borussia Moenchengladbach serta pertemuan Piala Liga menentang Sunderland.

Dia juga mungkin terlepas aksi Liga Perdana menentang Crystal Palace, West Ham United, Tottenham Hotspur dan Newcastle United serta baki kelayakan Euro 2016 England menentang Estonia dan Lithuania.

Namun berita positif buat City, pemain tengah Brazil, Fernando semakin hampir cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya hampir sepanjang musim lalu.

“Saya bekerja keras untuk pulih. Kini saya berasa lebih bagus tanpa rasa sakit jadi saya akan menyambung latihan biasa minggu ini dan harapnya boleh beraksi dalam tempoh dua minggu lagi,” kata Fernando. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:09 AM