Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas kejayaan muncul juara Piala Iber di Sepanyol Jun lalu, skuad Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sekali lagi akan didedahkan dengan tahap permainan tertinggi apabila dijadualkan berangkat ke England, esok.

Seramai 16 pemain akan berkampung di bumi yang sudah melahirkan ramai bintang bola sepak dunia seperti David Beckham, Wayne Rooney dan Robbie Fowler itu.

Menurut Pengarah Teknikal PPBN Lim Teong Kim, skuadnya akan beraksi dalam 12 hingga 14 perlawanan ujian membabitkan kelab ternama di negara itu seperti Manchester City, Liverpool, West Ham dan Sheffield Wednesday.

Katanya, penekanan utama yang akan dititikberatkan dalam siri jelajah kali ini adalah dari sudut membina dan memupuk keyakinan diri yang dikenal pasti antara kelemahan besar kerana sering menghantui kebanyakan pemain tempatan.

“Selepas balik dari Sepanyol dan Portugal tempoh hari, pemain menunjukkan peningkatan yang amat baik terutama dari sudut taktikal dan kelajuan.

“Kali ini, saya mahu pemain mempelajari bagaimana untuk tampil lebih yakin ketika beraksi dengan pemain lebih besar dan agresif yang memang menjadi identiti bola sepak di sana (England).

“Untuk bersaing di tahap tertinggi, pemain mesti ada keyakinan diri tinggi di samping memerlukan kecepatan berfikir pantas sekiranya mahu menjadi pemain terbaik dunia,” katanya kepada Arena Metro.

Jelas Teong Kim lagi, tempoh selama 14 hari itu akan dimanfaatkan dengan sepenuhnya apabila jurulatih turut menerima faedah daripada jelajah itu.

“Bukan pemain saja akan dibawa, tapi 10 jurulatih di bawah PPBN juga akan diterbangkan bagi mengikuti program kejurulatihan bersama kelab di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:21 AM