X
Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berharap pasukan The Bos Gaurus mengusahakan pencapaian terbaik dalam kempen Piala Malaysia bermula pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Tan Seri Hassan Yunus, Larkin, malam ini.

Diundi dalam Kumpulan B yang turut mempunyai Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zainol yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh harapan pemain Perak turun dengan iltizam dan semangat baru untuk menghadapi kempen piala berprestij itu.

Justeru, beliau berharap pemain Perak melupakan kekecewaan dalam Liga Super lalu dan berusaha menebus aib dengan mara ke suku akhir.

“Dua musim berturut-turut Perak terlepas peluang ke suku akhir di saat akhir. Pada masa itu kita hanya perlukan satu mata untuk layak, tapi malangnya gagal,” katanya.

Zainol yakin jurulatih Vjeran Simunic berupaya membuat percaturan yang mampu dilaksanakan pemain semasa perlawanan nanti.

“Sebagai seorang bekas pemain, Simunic pasti tahu bagaimana hendak membuat percaturan dan menangani pemain. Saya yakin pemain Perak juga tidak menghadapi masalah dengan jurulatih itu,” katanya.

Zainol berkata tidak seperti semasa perlawanan Liga Super, kali ini Perak tidak lagi menghadapi masalah kecederaan walaupun pasukan Yob tidak dapat khidmat penjaga gol utama, Mohd Zamir Selamat yang menjalani pembedahan, baru-baru ini.

“Zamir terpaksa melupakan kempen Piala Malaysia kerana perlu berehat enam bulan akibat pembedahan kecederaan. Kita akan terasa kehilangannya tapi saya percaya penggantinya (Azizon Abd Kadir) berkebolehan,” katanya.

Mengenai pertembungan dengan Johor DT malam ini, Zainol juga berharap tidak berlaku ‘insiden panas’ seperti yang berlaku di Larkin dan Ipoh.

“Marilah kita sama-sama menjaga maruah dan imej bola sepak negara yang tercalar teruk gara-gara insiden pasukan kebangsaan dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam.

“Cukuplah dengan apa yang berlaku. Jangan ditambah lagi pandangan negatif orang luar terhadap negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:31 AM