PENDATANG bertembung dengan pasukan polis Macedonia sewaktu cuba memecahkan kepungan untuk menaiki kereta api selepas menyeberangi sempadan Macedonia-Greek berhampiran Gevgelija.
PENDATANG bertembung dengan pasukan polis Macedonia sewaktu cuba memecahkan kepungan untuk menaiki kereta api selepas menyeberangi sempadan Macedonia-Greek berhampiran Gevgelija.
PENDATANG menunggu bas di kem sementara di Kampung Roszke, Hungary, selepas Austria mengumumkan penarikan balik langkah kecemasan yang membenarkan 12,000 orang memasuki negara itu.
PENDATANG menunggu bas di kem sementara di Kampung Roszke, Hungary, selepas Austria mengumumkan penarikan balik langkah kecemasan yang membenarkan 12,000 orang memasuki negara itu.
PENDATANG dalam kem pelarian di Roszke, Hungary. Dianggarkan lebih 5,000 pendatang akan menyeberang sempadan Hungary.
PENDATANG dalam kem pelarian di Roszke, Hungary. Dianggarkan lebih 5,000 pendatang akan menyeberang sempadan Hungary.
PENDATANG menunggu untuk menyeberang sempadan dari kampung Greek utara, Idomeni ke selatan Macedonia.
PENDATANG menunggu untuk menyeberang sempadan dari kampung Greek utara, Idomeni ke selatan Macedonia.
Susunan Siti Salmiah A Hamid

Sejumlah besar pendatang yang memasuki Eropah perlu dilihat sebagai pendatang, bukan pelarian kerana mereka mencari ‘kehidupan Jerman’, menurut Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Populis sayap kanan yang mengendalikan krisis asing itu berkata, Kesatuan Eropah (EU) perlu membantu kewangan negara seperti Turki yang menghadapi konflik pendatang kekal.

“Permohonan suaka pelarian Syria dan Iraq yang memasuki Greece, Macedonia, Serbia atau Hungary perlu diproses secara adil,” kata Orban dalam perhimpunan diplomat Hungary di Budapest.

“Jika mereka mahu keluar dari Hungary, pastinya mereka mahukan sesuatu yang lain,” katanya sambil menambah sasaran pendatang ialah Jerman yang lebih selesa dan selamat,” katanya sebagai reaksi Presiden Francois Hollande yang memberi amaran supaya EU berkongsi beban pendatang.

Beliau turut menuduh Britain ‘mengelak’ bertanggungjawab memikul beban terbabit.

“Memang benar Britain tidak ada dalam zon Schengen, tapi David Cameron sepatutnya melakukan sesuatu sebagai sebahagian daripada Eropah,” kata Hollande.

Seorang pegawai Bavaria berkata, Jerman menjangka kira-kira 2,500 pelarian tiba pada awal petang Isnin lalu selepas lebih 20,000 pendatang sampai pada hujung minggu.

Canselor Angela Merkel menyifatkan kemasukan itu sebagai ‘menakjubkan’ dan bakal mengubah landskap negara itu.

Jerman berjanji menambah RM29 bilion (Euro 6 bilion) untuk membantu pelarian yang terdesak menyeberangi sempadan dan menerima 24,000 pendatang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagaimanpaun, katanya ekonomi terbesar di Eropah itu belum bersedia memikul beban pelarian sendirian.

Britain mengumumkan akan menerima 20,000 pelarian Syria dari Timur Tengah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keputusan untuk membuka pintu kepada 20,000 pelarian itu adalah dua kali ganda daripada yang diminta pembangkang politik minggu lalu, tetapi jumlah itu meningkat 35,000 selepas dipersetujui Jerman dalam tempoh dua tahun akan datang.

Orban sebelum ini berkata, kehadiran sejumlah besar pendatang yang kebanyakan beragama Islam adalah satu ancaman kepada budaya dan nilai Kristian Eropah.

“Ia tidak masuk akal...,” katanya.

Ketua pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Geneva, Michael Moeller berkata, empat juta pelarian Syria akan ‘bangun dan pergi dan datang’ ke Eropah kecuali masyarakat dunia memberi wang kepada tiga negara yang berjiran dengan Syria.

Moeller berkata, anggota PBB perlu mengimbangi kos dibayar Lubnan, Jordan serta Turki. Kebanjiran pelarian Syria ke Eropah adalah sebahagian aliran penghijrahan besar-besaran yang lebih besar di seluruh dunia.

Dalam satu temu bual dengan The Associated Press (AP), Moeller menggesa perubahan dalam ‘naratif’ di negara yang menerima: “Tidak semua pelarian adalah pengganas, penjenayah atau pencuri kerja.

Beliau juga mengingatkan pendatang dan pelarian terhadap pemikiran mereka akan berakhir. Jerman adalah negara yang paling mesra dalam kalangan negara EU.

Krisis penghijrahan terburuk di Eropah sejak Perang Balkan 1990-an menyebabkan ramai pemimpin di benua itu mengadakan sistem kuota untuk mengagihkan pelarian kepada 28 negara anggota EU - idea yang ditentang Orban.

Walaupun Hungary kekal sebagai sebahagian pasport percuma EU ‘zon Schengen’, menurut Orban, perbincangan sistem kuota terlalu awal.

Di Austria pula, pendatang terdesak mengalirkan air mata apabila negara itu mengumumkan cadangan untuk mengawal kembali sempadan selepas langkah kecemasan membenarkan 12,000 orang memasuki negara ini dari Hungary sejak hujung minggu lalu.

Canselor Austria Werner Faymann berkata, negara itu akan menamatkan langkah kecemasan yang membenarkan pendatang terkandas di Hungary ke Austria sejak Sabtu lalu.

Austria menggantung sekatan rawak sempadan selepas gambar anak kecil Syria terbaring mati di pantai Turki, menunjukkan yang mereka sangat terdesak untuk berhijrah secara haram ke Eropah.

Insiden lain, termasuk 71 pelarian mati lemas dalam belakang trak yang ditinggalkan di lebuh raya Austria ketika perjalanan ke Hungary, mendorong Vienna bersetuju dengan Jerman mengetepikan peraturan yang memerlukan pelarian mendaftar untuk memohon suaka apabila tiba di negara pertama EU.

Keputusan itu dicapai kerana ribuan pendatang berjalan kaki dari Budapest ke Austria.

Di Jerman, polis merekodkan ketibaan 14,000 orang dari Austria pada lewat petang Ahad. Majoriti daripada mereka melarikan diri dari perang saudara di Syria manakala kira-kira 3,000 lagi tiba kelmarin.

Hungary menyediakan 100 bas di sempadan pada Sabtu selepas Austria bersetuju dengan situasi kecemasan untuk membantu ribuan pendatang dan pelarian yang terkandas di Budapest selepas mengembara melalui Balkan dan Greece.

Selebihnya bertolak dari stesen dengan berjalan kaki sejauh 177 kilometer.

Menurut Jerman, ia menjangka 800,000 pelarian tiba tahun ini dan menggesa ahli EU yang lain untuk membuka pintu negara masing-masing.

Ia memutuskan untuk menambah RM14 bilion (Euro 3 bilion) kepada negeri persekutuan dan bandar untuk membantu menangani kebanjiran perlarian.

Di Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak panggilan ketua pembangkang Isaac Herzog yang mahu memberi perlindungan kepada pelarian Syria, dengan berkata negara itu terlalu kecil untuk membawa mereka masuk.

Qatar, Kuwait, Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikritik kerana tidak membantu pelarian.

Bekas Setiausaha Pembangunan Antarabangsa Andrew Mitchell menggesa David Cameron mempertimbangkan penghantaran tentera United Kingdom (UK) bagi mewujudkan ‘tempat selamat’ untuk pelarian di Syria.

“Kami memerlukan usaha serius untuk melindungi jutaan orang di negara dunia kedua.

“Kita perlu terbabit dengan meletak tentera di sana kerana kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi mereka,” kata Mitchell.

Di stesen Keleti Budapest, pelarian mengikut ayat bertulis tangan dalam bahasa Arab yang mengarahkan mereka menaiki kereta api ke Hegyeshalom di sempadan Austria sementara sukarelawan mengagihkan makanan dan pakaian.

Di sempadan, barisan panjang orang ramai berselimut atau beg tidur dan membawa kanak-kanak yang tidur, turun dari bas di Hungary dan berjalan kaki ke Austria.

“Kami gembira. Kami akan ke Jerman,” kata Mohammed, seorang penduduk Syria.

Tetapi di Hungary yang bersempadan Serbia, terdapat laporan mereka bermalam dan berhujan tanpa tempat perlindungan.

“Ketika Eropah meraikan imej kegembiraan dari Austria dan Jerman, pelarian yang menyeberang ke Hungary melihat gambaran yang berbeza polis rusuhan dan tanah keras sejuk dijadikan alas tidur,” kata penyelidik Amnesty International, Barbora Cernusakova dalam satu kenyataan.

Di Lesbos, Greek, seramai 500 warga Afghanistan membantah prosedur panjang dan bergelut dengan polis pada hujung minggu lalu.

“Sebuah feri menampung 1,744 pendatang dan pelarian dari Lesbos ke Athens pada Ahad lalu manakala 2,500 dijangka tiba pada hari yang sama,” kata pengawal pantai.

Menurut rekod, 50,000 orang tiba di limbungan Greek pada Julai dan diangkut feri dari pulau itu kerana tidak mampu menampung kebanjiran ke tanah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 10:49 AM