GANDINGAN Dottie dan Azrel jadikan drama Si Montel seronok ditonton.
Oleh Michelle Gun


Drama bersiri komedi romantis Si Montel yang mengisahkan percintaan seorang gadis gempal bukan sekadar program hiburan kerana terselit mesej positif kepada penonton.

Drama 13 episod itu juga diharapkan dapat menepis sikap kurang keyakinan diri wanita berbadan besar, sekali gus memberi inspirasi kepada golongan berkenaan.

Diarahkan Nuad Othman, drama terbabit dibintangi Dottie yang memegang watak utama sebagai Tipah Montel manakala Azrel Ismail sebagai hero rebutan enam gadis.

Ia akan ditayangkan di saluran 116 HyppTV mulai esok jam 9 malam.

Penerbitnya, A Aida berkata, drama itu menyampaikan mesej penting kepada masyarakat agar tidak memandang rendah wanita berbadan besar kerana mereka turut mempunyai daya tarikan tersendiri.

“Kami mahu mengetengahkan pelakon berbadan besar dan berbakat dengan memberi peluang kepada Dottie untuk menjayakan watak ini yang jarang sekali diterima golongan berkenaan,” katanya.

Tambah A Aida lagi, wanita berbadan besar menjadi pilihan karya kali ini kerana dia percaya jalan cerita sedemikian akan menarik minat penonton.

“Saya mahu menghasilkan karya santai dan berkualiti yang boleh ditonton semua orang.

“Justeru, saya berharap Si Montel akan menjadi inspirasi kepada penonton terutama wanita berbadan besar supaya mereka akan berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon pula, A Aida berkata, Dottie sudah beberapa kali bekerjasama dengannya dan mengenali tahap kerjanya.

“Dia bukan saja berbakat dalam lakonan tetapi cantik, sesuai dengan karakter watak utama drama ini. Manakala Azrel mempunyai wajah tampan dan namanya juga popular,” katanya.

Dottie suka mesej drama ini

Dottie atau nama sebenarnya Nor Syuhada turut menyokong drama Si Montel kerana akan memberi harapan kepada wanita berbadan besar yang belum berkahwin.

“Walaupun memaparkan babak lucu, drama ini menyelitkan banyak pengajaran antaranya jangan memandang rendah wanita bersaiz besar.

“Malah, drama ini turut memberitahu wanita golongan ini pasti akan bertemu dengan lelaki yang ikhlas dan baik,” katanya.

Si Montel mengisahkan Tipah Montel yang berbadan besar namun berhati mulia dan penyayang.

Ketika gadis lain di kampungnya berusaha memikat jejaka tampan iaitu Aris, Tipah merasakan peluangnya tipis disebabkan saiz badannya.

Walaupun menyedari kekurangan diri, Tipah gadis periang, kelakar, mengambil berat dan bersikap rendah diri.

Dalam drama ini, penonton akan menyaksikan nilai-nilai positif yang dipamerkan Tipah seperti menghormati orang tua dan mengambil berat kebajikan mereka apabila sakit.

Pelakon lain turut membintangi drama ini adalah Adibah Yunus, Ruhainies, Ezzaty Abdullah, Janna Nick, Syawal dan Keena Mentor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 11:58 AM