MODEN, anggun dan bergaya untuk wanita moden masa kini.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Setelah lebih 80 tahun, jenama Levi’s masih menerajui pasaran dalam penghasilan denim wanita. Bermula dengan jean biru original pada 1873 menerusi ikonik 501 disusuli dengan ciptaan pertama jean biru untuk wanita pada 1934, seterusnya jenama ini kekal dengan revolusi fesyen yang sentiasa bertukar ganti.

Tempoh lapan dekad sebenarnya mendedahkan jenama ini untuk mengenali dan memahami tubuh wanita dan cara menyerlahkan gaya pemakaian yang diinginkan.

Sempena musim luruh 2015, Levi’s menggunakan kepakaran global dalam bidang denim wanita bagi menghasilkan seluar yang cukup sempurna dan berharga. Ia menggabungkan inovasi terkini dan relevan dengan memberi tumpuan kepada perincian, potongan, fabrik hingga kepada kemasan dan gaya bagi menghasilkan koleksi jean yang berkualiti dan selesa. Inovasi ini termasuk teknologi regangan, kemasan dan perincian tulennya yang bertaraf dunia.

Musim luruh kali ini, ia memperkenalkan denim Levi’s terbaru sebagai inspirasi untuk wanita moden, feminin dan seksi. Variasi potongan koleksi musim luruh 2015 adalah 710, Super Skinny; 711, Skinny; 712, Slim; 714, Straight; 715, Bootcut; dan 721, High Rise Skinny yang dibuat khusus untuk wanita Asia.

Menurut Pengarah Jenama Gaya Levi’s Kaede Matsumoto, memenuhi kehendak wanita yang inginkan penampilan langsing koleksi musim luruh 2015, ia menghasilkan jean kegemaran wanita dengan mengubah rekaan mengikut kesesuaian paha dan kaki agar lebih langsing tetapi mengutamakan keselesaan.

“Pereka kami memahami keinginan wanita yang sentiasa inginkan pembaharuan dalam penggayaan mereka. Sebab itu pereka menghasilkan jean yang mengikut kontur pinggul bagi menyokong susuk badan agar kelihatan lebih langsing, anggun dan pada masa sama selesa dipakai,” katanya.

Selain pelancaran koleksi terkini ini, Levi’s turut melancarkan kempen global bagi musim luruh 2015 bertemakan Live In Levi’s. Bergandingan dengan penyanyi serta komposer antarabangsa terkenal, Alicia Keys, penyanyi ini akan meminjamkan suara serta gayanya yang tersendiri untuk penampilan sulung koleksi transformasi denim wanita terbaru.

Alicia Keys tidak memerlukan sebarang pengenalan kerana dia sememangnya artis berbakat dengan suara dan gaya tersendiri. Ia juga berpadanan dengan mesej yang ingin disampaikan jenama ini yang sentiasa mendapat tempat di hati wanita.

Pada majlis sama, barisan model yang menggayakan pelbagai jenis Levi’s diberikan sentuhan gaya oleh perunding imej Wee Chee yang menukar penampilan mengikut konsep tertentu namun lengkap memakai denim yang sama. Bagi peminat jenama ini, koleksi musim luruh kini sudah berada di gedung dan kedai Levi’s seluruh negara pada harga bermula RM179.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:01 AM