Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kekalahan Kelantan di tangan Selangor pada saingan terakhir Liga Super bulan lalu menyebabkan mereka tampil dengan misi untuk membalas dendam bagi memburu kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Walaupun diakui pertemuan itu agak perit, pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail tetap optimis pasukannya masih berpeluang menyekat hasrat Red Giants menang di laman sendiri.

Di atas kertas, Selangor dilihat menjadi pasukan pilihan kerana memiliki semua kelebihan, selain dibarisi ramai pemain berkaliber dan berpengalaman, namun The Red Warriors (TRW) mampu bangkit untuk mengalahkan pasukan Gergasi Merah itu.

Pemangku ketua jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, kekalahan terakhir Kelantan kepada Selangor bulan lalu harus dilupakan segera pemain kerana mereka perlu menumpukan perhatian lebih 100 peratus pada saingan Piala Malaysia.

Katanya, kekalahan itu tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya, perlu memburu kemenangan dalam dua perlawanan pertama kempen Piala Malaysia termasuk pertemuan menentang FELDA United FC.

“Kami tidak rela lagi berputih mata selepas gagal merebut tempat dalam lima kelompok pasukan terbaik Liga Super apabila sekadar menghuni tangga kesembilan daripada 12 pasukan.

“Kemenangan malam esok (malam ini) amat penting sebagai suntikan semangat untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Zahasmi berkata, selaku pasukan ‘underdog’, anak buahnya akan beraksi tanpa sebarang tekanan berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:08 AM