PELARIAN di pusat tahanan sementara di Roszke berebut-rebut makanan yang dilontar polis Hungary.
PELARIAN di pusat tahanan sementara di Roszke berebut-rebut makanan yang dilontar polis Hungary.

Budapest: Rakaman video menyayat hati muncul semalam mengenai cara pendatang dilayan di kem utama pelarian di Hungary.

Imej itu menunjukkan pelarian berkenaan diberi makan seperti ‘haiwan di dalam kandang.’

Video itu yang dirakam secara sulit oleh seorang sukarelawan Austria yang melawat kem Roszke, berhampiran sempadan Serbia, menunjukkan kira-kira 150 orang berebut mendapatkan bungkusan sandwic yang dilontar kepada mereka oleh polis Hungary.

Wanita dan kanak-kanak dilihat berebut mendapatkan makanan itu.

Ramai pendatang di belakang memanjat pagar, melambai dan menjerit ke arah polis untuk mendapatkan perhatian.

“Mereka diberikan makanan seperti haiwan di dalam kandang. Keadaan di situ boleh di umpamakan Guantanamo Eropah,” kata Klaus Kufner, merujuk kepada kem penjara di Cuba tempat Amerika Syarikat dituduh menyeksa tahanan.

Menurutnya, dia dan Michaela Spritzendorfer yang merakam kejadian itu berada di Roszke untuk membawa makanan, pakaian dan ubat-ubatan bagi membantu ribuan pelarian yang tiba di situ.

“Tindakan polis Hungary itu tidak berperikemanusiaan,” kata Michaela.

Rakaman itu yang dimuat naik ke Youtube lewat kelmarin ditonton lebih 20,000 kali sehingga pagi semalam.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu lalu mengkritik keadaan buruk di kem Roszke.

Pendirian tegas Hungary terhadap pendatang juga mengundang kemarahan negara Kesatuan Eropah (EU).

Undang-undang yang akan menyaksikan pendatang dipenjara kerana menyeberang sempadannya dijangka dikuatkuasakan Selasa depan.

Kerajaan berhaluan kanan Hungary menyempurnakan pembinaan pagar berduri di sepanjang sempadannya sejauh 175 kilometer dengan Serbia tetapi ia gagal menghalang pendatang yang melarikan diri dari peperangan di Syria dan Iraq memasuki negara itu.

Ia mendorong Perdana Menteri Viktor Orban mengarahkan pembinaan pagar tambahan setinggi empat meter lagi yang mahu disiapkannya menjelang hujung Oktober. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:10 AM