TULANG belakang pasukan UiTM Eco-Photon Solar.
Oleh Aniza Zainudin


Bakal merentasi perjalanan sejauh 3,000 kilometer, Stingray, kereta solar pertama ciptaan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi satu-satunya taruhan dari Malaysia untuk memenangi pertandingan The Bridgestone World Solar Challenge 2015 pada 18 hingga 25 Oktober depan, di Australia.

Berdepan 35 pasukan dari 28 negara, pasukan UiTM Eco-Photon Solar yang terdiri daripada 25 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Kimia ini menetapkan visi untuk menjadi pasukan pertama Asia menamatkan perlumbaan antarabangsa dwitahunan itu.

Beraksi bagi kategori Challenger, Stingray yang akan memulakan perlumbaan di Darwin akan melalui lima tempat pemeriksaan iaitu Katherine, Tennant Creek, Alice Springs, Coober Pedy, Port Augusta sebelum menamatkan perlumbaan di Adelaide bagi tempoh 50 jam.

Penolong Ketua Pasukan UiTM Eco-Photon Solar, Syed Mohd Firdaus Syed Zainuddin berkata, persediaan menghadapi perlumbaan itu sudah bermula sejak tahun lalu berikutan ia kali pertama disertai UiTM.

Meskipun UiTM pernah mencipta rekod tersendiri dengan memenangi Shell Eco Marathon Asia dua tahun berturut-turut bagi kategori ‘Fuel Cell Urban Concept’ di Manila, Filipina, mahasiswa berusia 23 tahun ini menyifatkan perlumbaan kali ini jauh berbeza dan lebih mencabar.

“Usaha ini adalah inisiatif kami sendiri kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. Nyata, idea ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada UiTM dan pensyarah.

“Selain melakukan rujukan bersama pensyarah dan tesis penyelidikan, kami turut mendapatkan tip dan pengalaman daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana mereka pernah menyertai pertandingan ini,” kata­nya.

Menurut Syed Mohd Firdaus, bagi menambah dan berkongsi ilmu pengetahuan, mereka turut melakukan lawatan ke Singapore Polytechnic di Singapura.

“Dalam perlumbaan ini, perkara paling penting adalah mengkaji kelebihan setiap kereta solar yang dibina institut pengajian tinggi berkenaan dan mencipta alternatif buat Stingray, serta tidak mengulangi kekurangan yang sama.

“Sebagai penggerak utama, kami perlu merancang setiap langkah yang diambil demi memastikan kereta solar yang dibina memiliki kualiti terbaik,” katanya ketika ditemui di makmal Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Stingray diinspirasikan daripada bentuk ikan pari yang dapat meminimumkan penggunaan tenaga solar serta mengurangkan tekanan angin dari bahagian hadapan.

Dengan saiz 4.5 meter panjang dan 1.7 meter lebar, Stingray yang dibina daripada gentian karbon ini memiliki kelajuan maksimum 100 kilometer sejam.

Jelas Syed Mohd Firdaus, kereta solar yang memiliki berat 180 kilogram ini memiliki dua bahagian berasingan bagi memastikan keselamatan pemandu yang mengendalikan jentera tenaga hijau ini terjamin.

“Bahagian pemandu terletak di sebelah kiri, manakala bahagian kanan pula dikhaskan untuk komponen elektrik termasuk sel bateri yang berfungsi menyimpan tenaga yang dijana pengawal tenaga solar MPPT (Maximum Power Point Tracking).

“Bagi menggerakkan Stingray, kami menggunakan motor dari Amerika Syarikat iaitu ‘in wheel’ Nu Gen dan ia adalah komponen yang paling mahal.

“Kini kami berada dalam fasa pandu uji. Faktor keselamatan termasuk sistem elektrik, stering, brek dan ‘suspension’ menjadi keutamaan,” jelasnya.

Memilih rona perak bagi kemasan Stingray, pasukan anak muda ini melihat warna berkenaan berupaya menonjolkan jentera itu sepanjang pertandingan nanti.

Menariknya, kesungguhan pasukan UiTM Eco-Photon Solar yang bijak memainkan peranan dan menjalankan tugasan mengikut kemahiran sama ada teknikal mahupun sebaliknya berupaya membentuk kumpulan yang mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:01 AM