Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan mengenai pentingnya langkah berterusan untuk mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan negara mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Menjelang pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, esok, beliau berkata, kerajaan kini dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran defisit fiskal, termasuk mengurangkan angkanya kepada 3.5 peratus menjelang akhir tahun dan tiga peratus menjelang akhir 2015.

“Salah untuk melepaskan beban hutang kepada generasi akan datang. Kita mesti wariskan ekonomi yang lebih kukuh dan hutang yang lebih kecil.

“Kita mesti lakukan apa yang tepat untuk ekonomi Malaysia, bukan yang popular,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambil berkata bahawa paras subsidi semasa tidak mampan, Najib yang juga Menteri Kewangan memperkukuh komitmenya ke atas rasionalisasi subsidi dengan menyatakan bahawa subsidi bahan api meningkat daripada RM1.6 bilion setahun pada 2002 kepada RM2 bilion sebulan pada 2014.

Beliau berkata, Bajet 2015 adalah belanjawan `pro-rakyat’ yang meliputi langkah bagi mengurangkan beban kos hidup.

Najib berkata, bajet itu juga akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik.

Perdana Menteri juga menyatakan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“BR1M akan terus menjadi sebahagian manifesto kami. Ia sebahagian daripada rasionalisasi subsidi. Dengan mengubah subsidi menyeluruh kepada sokongan lebih bersasar, kamu akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected]. dan layari www.treasury.gov.my untuk menonton ucapan secara langsung pembentangan Bajet, untuk membuat turun ucapan Bajet yang sudah dibentangkan, Laporan Ekonomi dan dokumen penting yang lain. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Oktober 2014 @ 8:19 PM