ORANG ramai berkumpul di kawasan letupan di sebuah restoran di daerah Jhabua, Madhya Pradesh, semalam.
ORANG ramai berkumpul di kawasan letupan di sebuah restoran di daerah Jhabua, Madhya Pradesh, semalam.

New Delhi: Sekurang-kurangnya 104 orang terbunuh apabila sebuah gas tong gas masak meletup di sebuah restoran yang sesak di Madhya Pradesh, tengah India, awal pagi semalam.

Letupan kuat itu turut memusnah atau menggegarkan bangunan berhampiran.

Jumlah kematian itu meningkat mendadak dari kiraan awal sebanyak 20 orang selepas pasukan penyelamat menemui puluhan lagi mayat dari runtuhan restoran itu dan struktur berhampiran dalam kejadian di bandar Petlawad di daerah Jhabua.

“Setakat ini 104 disahkan mati. Maklumat yang saya peroleh ialah kira-kira 100 orang cedera,” kata pegawai dibilik kawalan balai polis daerah ML Gond .

Letupan berlaku sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) di restoran yang sesak dengan pekerja pejabat dan kanak-kanak sekolah bersarapan.

Rakaman televisyen menunjukkan orang ramai dan anggota penyelamat menggunakan tangan kosong untuk menyelongkar batu dalam usaha mencari mangsa.

Pihak berkuasa mengesyaki letupan itu begitu kuat mungkin kerana ada bahan letupan yang digunakan untuk melombong disimpan di dalam bangunan restoran itu atau bangunan bersebelahan.

Ketua Menteri Madhya Pradesh Shivraj Singh Chouhan menawarkan bantuan 200,000 rupee (RM13,000) kepada anggota keluarga mangsa yang terbunuh dan 50,000 (RM3,000) rupee untuk membantu mangsa yang cedera.

Letupan tong gas masak sering berlaku di India kerana standard keselamatan yang buruk. Bagaimanapun, ia jarang menyebabkan jumlah kematian yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:11 AM