KEADAAN kereta berkenaan selepas ia terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus.

Beijing: Seorang pemandu China nyaris maut apabila keretanya masuk ke dalam tanah jerlus ketika dia memandu di jalan raya di bandar Lanzhou, barat laut China, kelmarin.

Pemandu itu yang hanya dikenali sebagai Wang berkata, dia dapat merasakan jalan raya itu bergegar sebelum kejadian.

Wang berjaya menyelamatkan diri menerusi tempat duduk penumpang bahagian hadapan sebelum keretanya ditenggelami air.

Menurut Wang, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja apabila melihat jalan itu dinaiki air.

Mulanya dia menyangka ia banjir disebabkan hujan lebat. Kemudian dia merasakan tanah di bawah keretanya bergoyang.

Dalam sekelip mata keretanya terjatuh ke dalam lubang dengan bahagian kirinya separuh tergantung.

Wang cuba menyelamatkan diri tetapi gagal kerana air memasuki keretanya dengan deras sebaik dia membuka pintu. Dia dengan cepat beralih ke tempat duduk penumpang dan berjaya memanjat keluar.

Sebaik dia keluar, kenderaan itu jatuh ke dalam lubang berkenaan dengan bahagian depannya tenggelam sama sekali.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada paip air di bawah jalan raya itu pecah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:11 AM