Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang lebih tegas terhadap peneroka tanah haram di Cameron Highlands, Pahang termasuk melakukan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, mesyuarat sama turut mengumumkan beberapa langkah pencegahan dan mitigasi dalam jangka masa pendek dan panjang bagi mengelak atau mengurangkan impak bencana di kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Menurutnya, Jabatan Mineral dan Geosains turut diarahkan melakukan kajian segera kawasan berisiko tanah runtuh dan pelan mitigasi tanah runtuh di Cameron Highlands bagi mengenalpasti jumlah penduduk yang mungkin terancam untuk ditentukan langkah sewajarnya.

"Kerajaan juga mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan tegas dan serta merta bagi menguatkuasakan dan mengambil tindakan terhadap PATI secara bersepadu di Cameron Higlands," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:45 PM