MURID di Muar memakai topeng penutup mulut ketika perhimpunan waktu pagi setiap hari ahad berikutan keadaan cuaca berjerebu. FOTO Syarafiq Abd Samad
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai antara kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat tertinggi pagi ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, sehingga 8 pagi tadi kawasan Bukit Rambai merekodkan bacaan IPU 156 manakala Bandaraya Melaka, 155.

Selain itu,11 lokasi lain iaitu Muar, Pasir Gudang, Nilai, Port Dickson, Seremban, Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang,Kuching, Sri Aman dan Samarahan juga mencatat bacaan IPU tidak sihat melebihi 100.

Di sekitar Lembah Klang pula, kualiti udara masih tidak berubah dengan bacaan IPU tidak sihat di kawasan Batu Muda (115), Cheras (110), Putrajaya (130), Petaling Jaya (127) dan Shah Alam, 131.

Di seluruh Sabah pula, kualiti udara pagi ini berada pada tahap sederhana.

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, layari laman web apims.doe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 10:25 AM