MOHD Rosli menunjukkan gambar bapanya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Rosli menunjukkan gambar bapanya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Pantai Remis: Keluarga Abdul Muluk Ishak, 71, jemaah Malaysia yang dilaporkan hilang selepas insiden kren tumbang di Masjidilharam, Makkah, hanya mampu berdoa dan mengadakan solat hajat memohon agar Abdul Muluk dan tujuh lagi jemaah negara ini yang dilaporkan hilang dapat ditemui dengan selamat.

Anaknya, Mohd Rosli, 34, berkata mereka sekeluarga melakukan solat itu dan berharap bapanya ditemui dalam keadaan sihat dan selamat.

"Kami mengharapkan abah selamat dan dapat menghabiskan ibadah haji," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Taman Pantai Wang, Kampung Sungai Batu, dekat sini, hari ini.

Abdul Muluk antara lapan jemaah Malaysia yang hilang selepas kejadian yang mengorbankan nyawa 107 jemaah dan lebih 200 lagi cedera, kelmarin.

Menurutnya, dia berharap bapanya hanya sekadar tidak dapat dikesan dan tidak terbabit dalam kejadian kren tumbang itu.

"Sebelum ini abah pernah tersesat dan dihantar pulang ke Tabung Haji (TH) oleh seorang lelaki Arab, kami berharap kehilangan abah kali ini juga hanya sebab tersesat dan tidak terbabit dengan insiden yang berlaku itu.

"Abah juga mempunyai penyakit darah tinggi dan mudah lupa apabila terkejut kesan kemalangan 20 tahun lalu. Kami risau jika kejadian sama berulang lagi dan berharap dia selamat," katanya.

Sementara itu, anak bongsu Abdul Muluk, Abdullah Mubarak, 28, berkata ibunya Embon Ibrahim, 57, yang turut menunaikan haji kerika dihubungi 10.30 pagi tadi memaklumkan Abdul Muluk masih belum dapat dikesan hingga kini.

"Emak sebelum ini berada dalam keadaan sedih kerana kehilangan abah, namun kini emak sudah tenang sedikit dan meminta kami turut mendoakan keselamatan abah agar pulang ke pangkuannya dengan selamat.

"Kami tak akan berhenti berdoa dan akan bersama-sama melakukan solat hajat bersama penduduk kampung untuk keselamatan semua mangsa yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 1:50 PM