Oleh Muhamaad Razis Ismail & Siti Nadzirah Che Mud

Kota Bharu: “Ayah minta kuatkan semangat kerana mengetahui kami lima beradik amat rapat dengan arwah ibu," kata Muhamad Hafizan Muhammad Noor, 26 anak jemaah haji, Rohana Ismail, 54, yang disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah mengetahui berita pemergian ibunya pada 11.30 malam menerusi bapanya Muhammad Noor Harun, 56, yang berada di Makkah.

"Ayah membuat pengecaman arwah pada jam 8.30 malam tadi di hospital sebelum beliau memaklumkan kepada kami sendiri.

"Kami di sini sudah bersedia untuk berdepan segala kemungkinan dan reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Muhamad Hafizan berkata, jenazah ibunya akan disemadikan di Makkah.

Bagi Che Halimah Che Muda, 47, anak kepada Munah Jusoh, 73 yang turut terkorban, dia reda dengan apa yang berlaku.

"Apapun kami terima dengan reda kerana arwah pun meninggal dunia di tempat yang baik," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, wakil Tabung Haji turut hadir ke rumahnya untuk memaklumkan berita berkenaan.

Dalam pada itu, Siti Aishah Syed Hussin, 63, ibu kepada Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, yang disahkan terkorban enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan anaknya sudah kembali ke rahmatullah.

Siti Aishah yang kini berada di Kuala Lumpur berkata, dia masih terkejut dan sedih dengan pemergian anak perempuannya itu.

"Saya dimaklumkan oleh wakil Tabung Haji yang datang ke rumah ketika sidang media sedang berlangsung di televisyen," katanya sambil menangis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 1:07 AM