KUMPULAN Dadali pada majlis pelancaran album kedua dan single baru di Hard Rock Kuala Lumpur.
KUMPULAN Dadali pada majlis pelancaran album kedua dan single baru di Hard Rock Kuala Lumpur.
Oleh Michelle Gun


Bukan mudah menempa nama dalam industri seni di Indonesia apatah lagi perlu bersaing dengan band hebat di sana.

Begitulah situasi dihadapi kumpulan Dadali yang dianggotai Dyrga (vokalis), Rickard (gitar), Yuda (gitar), Oq (dram), Fadel (bes) dan Rix (keyboard) pada awal kemunculan pada 2009.

Disebabkan kesukaran mendapat kerjasama de­ngan media di negara sendiri, Dadali mengambil keputusan mempromosikan album pertama mereka yang diterbitkan pada 2011 di Malaysia.

Strategi itu berjaya mempopularkan lagu Disaat Aku Mencintaimu di negara ini sehingga diangkat sebagai lagu tema drama Dingin Lavenda siaran TV3.

Dyrga berkata, kejayaan itu akhirnya membuka mata pendengar di Indonesia untuk menerima mereka dalam industri seni negara terbabit.

“Kami tidak diberi layanan baik oleh media di negara sendiri dan kurang mempromosi karya kami.

“Berbeza di Malaysia, media lebih menghargai kami dan memberi liputan mengenai kumpulan ini. Terima kasih di atas sokongan anda sehingga kami mencapai kejayaan,” katanya.

Menurutnya, ketika memperkenalkan karya mereka di negara ini, mereka tidak menyangka lagu Disaat Aku Mencintaimu akan menerima sambutan luar biasa.

“Kami bersyukur kerana akhirnya lagu Dadali mendapat perhatian masyarakat di Indonesia dan kini tidak perlu risau dengan kemunculan band baru di sana,” katanya.

Katanya lagi, Dadali akan terus mengekalkan konsep muzik jiwang yang diketengahkan sejak penubukan kumpulan itu.

“Kebanyakan lagu mengisahkan masalah percintaan dan kami suka berkongsi kisah berdasarkan pengalaman sendiri menerusi lagu kepada peminat. Lagipun konsep ini bagus untuk kami terus bertapak dalam industri seni kerana masih diterima baik peminat,” katanya.

Album dan single baru

Berkongsi perkembangan terbaru Dadali, Dyrga berkata, kumpulan itu muncul dengan album kedua selepas tiga tahun serta single baru Disaat Aku Tersakiti.

“Sebenarnya album ini sudah berada dalam pasaran Malaysia dan Indonesia sejak Ogos tahun lalu.

“Namun, disebabkan terlampau sibuk, kami hanya mempunyai masa untuk melancarkan album dan single itu di Malaysia pada bulan ini,” katanaya.

Kumpulan itu ditemui pada majlis pelancaran album Disaat Sendiri dan single Disaat Aku Tersakiti yang berlangsung di Hard Rock Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dyrga, album yang memuatkan 10 lagu itu menerima sambutan baik di kedua-dua negara.

Mengenai single Disaat Aku Tersakiti pula, lagu terbabit juga berdasarkan pengalaman percintaan Yuda dan dicipta oleh gitaris itu sendiri selepas album kedua Dadali diterbitkan.

“Inspirasi menghasilkan single itu datang pada saat akhir, jadi ia tidak sempat dimuatkan dalam album baru. Bagaimanapun, kami akan memuatkan lagu itu dalam album seterusnya,” katanya.

Lagu yang dimuatkan dalam album kedua Dadali ialah Disaat Sendiri, Bintang, Mendua, Mimpi Semata, Menjadi Pangeranmu, Aku Telah Berdua, Sakit Hatiku, Maafkanlah, Gadis Bukan Perawan dan Renungan Malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:00 AM