Oleh Zulfa Mohamad


Kepala Batas: Dua wanita warga Indonesia maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 120.2 Lebuhraya PLUS menghala selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Dua dekat sini, 5.50 petang ini.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna Proton Exora dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit.

Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah penumpang dikenali sebagai Sharifah Sumarno, 39, dan Ainun Mardhiah, 34, manakala dua lagi yang cedera ialah pemandu dikenali sebagai Fitri Wahyuni, 21, dan Megawati Samsurizan, 19.

Menurut sumber, mangsa baru menghadiri majlis konvokesyen saudara mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah dan dalam perjalanan untuk menziarahi rumah saudara lain di Permatang Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 10:55 PM