MAYAT mangsa dibakar semalam.
MAYAT mangsa dibakar semalam.
Agensi

New Delhi: Polis semalam melancarkan gerakan memburu suspek yang menyimpan secara haram bahan letupan dalam sebuah bangunan restoran, punca kepada letupan besar hingga meragut 90 nyawa dan menyebabkan hampir 100 orang cedera.

Kejadian berlaku di bandar Petlawad di daerah Jhabua di negeri Pradesh, tengah India awal kelmarin ketika ramai pekerja pejabat dan kanak-kanak sekolah bersarapan di restoran berkenaan dan sejumlah pekerja menanti di stesen bas berhampiran bangunan itu.

“Angka rasmi yang mati ialah 90. Jumlah sebenar mungkin meningkat kepada hampir 100,” kata jurucakap polis Jhabua Seema Alava.

Menurutnya, polis mulanya menyangka letupan berpunca daripada tong gas masak yang menyebabkan bahan letupan dalam bangunan restoran itu meletup hingga memusnahkan beberapa bangunan berhampiran dan kenderaan.

“Sebenarnya kejadian sebaliknya berlaku. Bahan letupan itu meletup dahulu,” katanya.

Menurutnya, suspek Rajendra Kasawa yang melarikan diri bersama beberapa adiknya selepas kejadian, menyimpan urea dan bahan letupan yang digunakan untuk menggali telaga, bangunan dan melombong di dalam setor di bangunan itu.

Walaupun Kasawa memiliki lesen terhadap bahan itu, Seema berkata, dia menyimpannya di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Kami akan menahannya. Hanya menunggu masa untuk dia ditangkap,” kata Seema.

Sementara itu, mayat mangsa dibakar secara beramai-ramai dalam satu upacara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:27 AM