X
Oleh Zamihan Mat Zain

Kita sedia maklum bahawa Matan Akidah Tohawiyah adalah risalah yang dikarang oleh seorang ulama salaf agung, Imam at-Tohawi bagi mewakili akidah salafussoleh terdahulu.

Namun, ia diselewengkan oleh Ibnu Abi al-Izz atas nama syarah dan diterjemahkan pula ke dalam bahasa Melayu.

Antara kecelaruan akidah dalam kitab ini ialah pengarang dan penterjemahnya sepakat menafikan sifat Qidam (sediakala) bagi Allah SWT.

Dakwa mereka sifat Qidam ini hanya ditetapkan oleh ahli kalam serta ditolak oleh ulama salaf dan khalaf.

Sebenarnya dakwaan ini tidak berasas sama sekali kerana sifat Qidam Allah SWT ditentukan dengan dalil qatie (jelas) al-Quran dan hadis sahih lagi mutawatir (diperturunkan daripada seorang kepada seorang tanpa terputus).

Kandungan kitab ini juga mempromosi pemecahan tauhid; tauhid Uluhiyah, tauhid Rububiyah dan tauhid Asma wa al-Sifat.

Malah, pengarangnya menetapkan bahawa Firaun juga bertauhid Rububiyah di dalam hatinya tetapi sekadar ingkar dengan perbuatan.

Subhanallah! Sebenarnya Firaun adalah pemimpin orang kafir yang sedikit pun tidak beriman dengan Allah SWT.

Sebenarnya masih ramai ulama Ahli Sunnah tampil mensyarahkan akidah Tohawiyah.

Ia seperti syarah Imam as-Syaibani yang lebih hampir dengan zaman salafussoleh berbanding Ibnu Taimiyah dan Ibnu Abi al-Izz sendiri.

Mereka seperti Imam al-Ghanimi, Syeikh Said Fudah, Syeikh Dr Umar Abdullah Kamil, Syeikh Abdul Karim Fatah, Syeikh Hassan al-Saqqaf dan ramai lagi daripada kalangan ulama al-Azhar al-Sharif.

Namun, mengapa ‘syarah’ (pada hakikatnya tahrif atau penyelewengan) Ibnu Abi al-Izz juga ingin diketengahkan kepada masyarakat Islam sedangkan syarah beliau itu banyak mengandungi fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan jauh menyimpang daripada kebenaran.

Tajsim dalam kitab al-Kawasyif al-Jaliyyah

Kitab al-Kawasyif al-Jaliyyah ‘an Maani al-Wasathiyah oleh Syeikh Abdul Aziz al-Muhammad al-Sulaiman (halaman 195) menyebut: “Makna istiwa adalah ketinggian, naik dan menetap.”

Kitab ini menjadi rujukan kegemaran golongan Salafi Wahabi seluruh dunia. Ia diajar dan disebar luas ke merata tempat bagi mengukuhkan akidah tajsim.

Maka saya menyeru kepada ulama, mufti dan pengkaji Ahli Sunnah untuk bangkit membanteras gejala yang merosakkan akidah ini.

Tajsim dalam kitab as-Sowa’iq al-Mursalah as-Syihabiyyah

Dalam kitab karangan Syeikh Sulaiman bin Samhan ini disebutkan (halaman 9): “Telah berkata Ibnu Jarir at-Tobari bagi ayat; ‘Semoga Allah mengutuskanmu pada maqam mahmud’ maksudnya: Nabi duduk bersama Allah di atas arasy.”

Ini suatu pendustaan terhadap Imam Ibnu Jarir kerana ketika menafsirkan ayat berkenaan beliau sekadar menyebut beberapa perselisihan pendapat dalam masalah itu.

Hal ini termasuklah menyebut perkataan golongan Mujassimah, iaitu Allah menempatkan Nabi dengan-Nya di atas arasy. Lalu beliau sendiri menolak fahaman berkenaan dan menguatkan pendapat yang mentafsirkan maqam mahmud sebagai syafaat. (Tafsir Ibnu Katsir: Jilid 3, halaman 56 dan 57 serta Tafsir at-Tobari berkaitan masalah ini)

Tajsim dalam kitab Masa’il wa Fatawa

Dalam kitab karangan Syeikh Ahmad bin Nasir ini ada menyebut (pada halaman 560): “Allah di atas arasy dan kursi adalah tempat letak kaki-Nya.”

Tajsim dalam kitab al-Aqaid as-Salafiyah

Pengarangnya, Syeikh Ahmad Ibnu Hajar Ali al-Buthomi berkata (pada halaman 183): “Kebenarannya ialah Allah berkata-kata dengan huruf dan suara.” Bersambung

Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 3:17 AM