PENDATANG dikawal polis Hungary ketika menanti untuk menaiki bas di Roszke, bandar berhampiran sempadan Serbia, semalam.
PENDATANG dikawal polis Hungary ketika menanti untuk menaiki bas di Roszke, bandar berhampiran sempadan Serbia, semalam.

Budapest: Jumlah pendatang memasuki Hungary mencatat rekod baru semalam ketika negara itu bersiap sedia melaksanakan undang-undang bagi menghalang kemasukan mereka pada masa akan datang.

Polis berkata, seramai 4,330 pendatang menyeberang sempadan negara itu, mengatasi rekod 3,601 yang dicatatkan Khamis lalu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkata, mereka bimbang lebih ramai akan tiba hari ini.

Kebanyakan pendatang itu cuba menjejaki Jerman menerusi Austria. Polis Austria pula berkata, 6,700 pelarian menyeberang sempadan Austria-Hungary di Nickelsdort kelmarin sebelum menuju utara ke arah Jerman.

Hungary berusaha menutup sempadannya dengan Serbia bagi menghalang pendatang dan pelarian yang tiba dari Greece dan negara Balkan lain memasuki negara itu.

Ia menguatkuasakan undang-undang baru mulai Selasa depan yang akan menyaksikan pendatang dipenjara kerana menyeberang pagar berduri yang dibinanya sepanjang sempadannya sejauh 175 kilometer dengan Serbia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:30 AM