JARAK penglihatan terhad akibat jerebu ketika gambar ini dirakam pada 9 pagi di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Hujan sejak awal pagi ini di beberapa kawasan sedikit sebanyak membantu memulihkan keadaan jerebu di Lembah Klang.

Bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun di Banting yang direkodkan pada tahap tidak sihat 184 pada 8 pagi berbanding amat tidak sihat (207), 11 malam tadi.

Di Batu Muda dan Cheras, IPU terkini yang dicatatkan adalah masing-masing 185 serta 156.

Manakala IPU di Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka turut mencatatkan sedikit penurunan iaitu masing-masing 171 dan 157 berbanding bacaan 193 serta 175 malam tadi.

Keseluruhan, sebanyak 34 kawasan masih merekodkan bacaan tidak sihat melebihi 100, pagi ini.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 10:14 AM