LEBUHRAYA Pan Borneo Sarawak dari dari Teluk Melano sehingga ke Lawas.
LEBUHRAYA Pan Borneo Sarawak dari dari Teluk Melano sehingga ke Lawas.
Oleh Shamran Sarahan


Lundu: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan fasa pertama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membabitkan jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.7 kilometer (km), hari ini.

Jajaran ini adalah sebahagian daripada 1,089 km keseluruhan pembinaan lebuhraya dari Teluk Melano sehingga ke Lawas itu.

Najib berkata, kerajaan memutuskan pelaksanaan projek ini, termasuk keseluruhan pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang akan dilaksanakan melalui kaedah rakan kongsi penyampaian dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat sebelum diagihkan kepada kontraktor tempatan membabitkan anak jati Sarawak.

"Pembinaan projek lebuh raya ini bakal menjadi pemangkin kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi di Sarawak apabila siap sepenuhnya kelak.

"Jika Lebuhraya Utara-Selatan membuka peluang pembangunan dan menambah baik jaringan perhubungan antara bandar di Semenanjung Malaysia, kesan sama bakal wujud melalui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak," katanya ketika Majlis Memulakan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Teluk Melano-Sematan, di sini.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pembinaan Jajaran Teluk Melano-Sematan ini dijangka mengambil masa 39 bulan dan akan siap pada Disember 2018 dengan anggaran kos RM700 juta.

Ia juga komponen pemula membabitkan jajaran simpang Jalan Nyabau ke simpang Jalan Bakun sepanjang 43 km sudah dilancarkan Perdana Menteri pada 32 Mac lalu.

Ia adalah sebahagian daripada 1,089 km jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan kos dianggarkan sebanyak RM18 billion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:38 PM
Kabinet Malaysia 2020