Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Satu pasukan petugas khas diwujudkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak bagi menangani isu berkaitan dokumen pengenalan diri yang dihadapi rakyat di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu adalah dengan kerjasama beberapa agensi lain dibawah pemantauan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

"Pasukan itu akan turun padang ke kawasan pedalaman dan rumah panjang untuk membantu proses permohonan dokumen pengenalan diri bagi individu yang dikenal pasti sebagai peribumi yang lahir dan menetap di Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa mengenai Dokumen Pengenalan Diri Penduduk di Sarawak yang diadakan di pejabatnya di sini.

Menurutnya, mesyuarat julung kali diadakan itu adalah satu lagi usaha kerajaan menyediakan wahana kepada rakyat di Sarawak untuk mengangkat isu berkenaan, berikutan rungutan yang diterima masih ada penduduk peribumi Sarawak yang lahir dan menetap di negeri itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Justeru, jawatankuasa ini akan memantau dan meneliti isu ini dan akan melihat sejauh mana keseriusan perkara ini di lapangan, sebelum mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang semasa.

"Mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai dokumen pengenalan diri seperti Mykad, sijil perkahwinan dan sijil kelahiran yang menjadi dokumen mandatori bagi setiap warganegara Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 6:12 PM