Oleh Norhayati Nordin

Dalam kalangan pemuzik bebas tempatan, nama Poova bukanlah asing. Dia pernah merangkul dua anugerah berprestij di Voice Independent Music Awards 2014 (VIMA 2014), Mac lalu.

Poova atau nama sebenarnya Poovanesvary Sri Rama, 34, dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik dan Artis Wanita Terbaik Keseluruhan pada malam kemuncak VIMA 2014 yang mengiktiraf karya pemuzik bebas.

Bersua anak jati kelahiran Selangor ini pada sesi fotografi diatur baru-baru ini, Poova hadir untuk berkongsi kegembiraannya yang dicalonkan bagi tiga kategori dalam Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM21) yang akan berlangsung pada 6 Disember depan.

Poova yang baru lima tahun aktif dalam industri muzik tanah air berkata, pencalonan dalam AIM21 itu rezeki tak diduga.

"Saya memang tak sangka dicalonkan dalam top 5 untuk tiga kategori pada AIM21 nanti iaitu Artis Baru Terbaik, Vokal Terbaik Wanita dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi album sulung, Ticket To Faketown.

"Tak dinafikan, hingga kini saya masih lagi dalam keadaan agak terkejut apabila mengetahui nama tersenarai dalam pencalonan top 5 itu. Apapun, saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang.

"Saya masih lagi artis baru yang dalam usaha menapak untuk membina nama. Jadi, apabila tersenarai dalam top 5 pada kemuncak AIM21 itu, saya anggap sebagai satu bonus dan platform untuk kembangkan karier," katanya.

Menurut Poova, dia memang teringin namanya dikenali di persada industri muzik tempatan. Bahkan, kemunculannya turut diterima baik penggemar muzik tempatan terutama dalam kalangan peminat Melayu.

Berbicara lanjut mengenai albumnya, Poova berkata, dia merakamkan 10 lagu hasil ciptaan sendiri dalam tempoh kira-kira dua tahun.

Katanya, jangka masa agak lama itu diambil kerana dia seorang yang teliti.

"Saya inginkan yang terbaik dalam muzik diperjuangkan. Apatah lagi, genre muzik dipilih adalah gabungan pop, R&B dan soul. Jadi, sebagai pemuzik bebas penting untuk saya memastikan setiap lagu itu ada kepuasannya.

"Apapun, kini saya sebenarnya merancang untuk menghasilkan EP yang memuatkan sekurang-kurangnya lima lagu berbahasa Melayu. Saya juga merancang menjalin kerjasama dengan beberapa penyanyi terkenal," katanya.

Kata Poova lagi, antara penyanyi yang ada dalam senarainya ialah Loque dari pada Monoloque, Joe Flizzow dan Najwa Mahiaddin.

Katanya, dia cukup tertarik dengan vokal ketiga-tiga penyanyi itu.

"Macam Loque dan Joe (Flizzow), saya sangat sukakan karya muzik mereka. Karya dihasilkan tulus, segar dan ikhlas. Justeru, tidak hairanlah apabila lagu mereka diterima baik peminat muzik tempatan.

"Bagaimanapun, untuk berbicara lanjut mengenai perancangan ini rasanya masih terlalu awal. Ditambah, saya juga bukan seorang yang suka terburu-buru. Oleh itu, biarlah ia dirancang dengan teliti," katanya.

Mengenai album Ticket To Faketown, antara lagu dimuatkan ialah Hello, As A Woman Can, Take Town, Better Believe Me, Slaves, Move Over, I Found You, I've Cried, Lookin Out For Love dan Just Another Day.

Menganggap satu penghargaan sangat bermakna terhadap pencalonan dalam AIM21 itu, Poova berkata, dia yang mendapat sokongan penuh daripada suami tercinta untuk menceburi bidang muzik sebenarnya mahu memasarkan album dihasilkan ke pasaran luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:01 AM