X
PELAKON Bravo Lima bersama anak-anak yatim.
PELAKON Bravo Lima bersama anak-anak yatim.
Oleh Ramlah Zainal


Watak hitam dan antagonis cukup sinonim dengan Sofi Jikan, 44, sejak dulu.

Dalam tempoh dua dekad berkecimpung dalam bidang seni tanah air, watak itulah yang sering ditawarkan produser dan pengarah filem padanya.

Antara yang sinonim dengannya ialah watak sebagai gengster, kaki lumba haram, penjenayah dan terbaru sebagai pengganas komunis dalam filem Bravo Lima.

Ia sekali gus melengkapkan lagi profil seni pelakon berkaliber bernama sebenar Muhamad Shoffi Jikan ini.

Secara peribadi, Sofi mengakui dirinya sudah sebati melakonkan karakter sedemikian.

Dalam filem Bravo Lima, dia melakonkan watak Sidek yang juga ketua Parti Komunis Malaya.

“Sebenarnya, bukan saya tidak teringin bawa watak hero tetapi rata-rata tawaran yang datang termasuk daripada produser filem Hollywood, semuanya watak jahat.

“Saya juga percaya, kalau semua pelakon ingin melakonkan watak hero atau watak baik, siapa pula yang ingin melakonkan watak jahat di layar perak?” katanya ketika ditemui di majlis tayangan amal filem Bravo Lima bersama isteri pesara tentera, golongan ibu tunggal dan anak-anak yatim di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sofi berkata, sebagai pelakon dia tidak mahu memberikan lakonan yang stereotaip sebaliknya setiap watak jahat dilakonkan menampilkan lakonan yang berbeza untuk kepuasan diri dan penonton.

Ditanya sama ada dia bersedia dibenci peminat kerana watak pengganas komunis dalam filem Bravo Lima, kata Sofi, dia yakin peminat sudah bijak menilainya dan meng­anggapnya sekadar lakonan semata-mata.

“Bukannya saya tidak mahu melakonkan watak hero atau komando dalam filem Bravo Lima, tetapi tubuh saya tidak cukup sasa dan tegap untuk watak anggota tentera.

“Pada masa sama, saya juga berasa tidak layak untuk bawa watak hero dalam filem kecuali ia terbitan produksi sendiri.

“Sepanjang bawa watak jahat, saya belum pernah mendapat ancaman atau ugutan. Kalau adapun pernah ada peminat yang menghubungi dan mengajak saya berlawan dengannya dan saya menganggap ia hanya gurauan.

“Sebagai pelakon, saya mengawal watak dilakonkan. Saya juga pastikan peminat tidak akan terbawa-bawa atau membenci saya dengan watak saya,” katanya.

Cabar diri jiwai watak pengganas komunis

Watak pengganas komunis dalam filem Bravo Lima memberi cabaran tersendiri buat Sofi kerana perlu menampilkan lakonan berbeza.

“Bukan semua orang boleh melakonkan watak pengganas komunis. Sebab itu saya terima tawaran daripada produser kerana ingin mencabar lakonan sedia ada terutama dalam filem genre patriotik.

“Mesej yang ingin disampaikan kepada penonton ialah walaupun pengganas komunis, mereka tetap berjuang hingga ke titisan darah yang akhir walaupun sedar perjuangan mereka itu sia-sia saja,” katanya.

Menurut Sofi, babak paling mencabar ialah ketika pertarungan di antara Sidik dengan Trooper Karim (lakonan Beto Kusyairy) yang juga klimaks dalam filem ini.

“Saya sangat berjaga-jaga kerana bimbang mengalami kecederaan kekal di bahagian tengkuk. Maklumlah, kami berlakon tanpa menggunakan ‘stuntman’.

“Saya juga tidak menafikan, watak pengganas komunis dalam Bravo Lima antara watak paling jahat yang pernah dilakonkan sebelum ini. Bayangkan, saya perlu melakonkan babak menembak kanak-kanak yang tidak berdosa, kencing di muka dan badan anggota tentera, potong jari, gigit telinga mereka dan banyak lagi,” katanya.

Filem arahan M Hitler Zami dan terbitan Karya Prima Production Sdn Bhd dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini turut mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat tanah air seperti Beto Kusyairy (Trooper Karim), Remy Ishak (Leftenan Azri), Sashi Tharan (Koperal Morgan), Xavier Fong (Koperal Ah Chia), Frank Peterson (Sarjan Unya), Normah Damanhuri, Siti Saleha dan Allahyarham Kuswadinata.

Bravo Lima mula ditayangkan di seluruh negara sejak 10 September lalu.

Jadi ‘lembut’ dalam Rock Bro!

Pelakon hebat yang dikenali dengan watak Zul Kapan dalam sekuel filem Rock arahan Mamat Khalid ini juga mengakui tidak sabar menanti tayangan filem terbaru Rock Bro!

Selain Sofi, filem sekuel ketiga dan terakhir Rock ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Khir Rahman, Hasnul Rahmat, Pekin Ibrahim, Azmi Black, Jihan Muse dan Kaka Azraff.

“Saya merancang buat ‘comeback’ dalam bidang lakonan pun selepas berlakon dalam filem Rock Bro! ini.

“Dalam sekuel terakhir ini, saya tampilkan kelainan dalam watak Zul Kapan iaitu dari ‘heavy metal’ kepada sisi feminin ‘mat rock’ yang lembut tetapi bukan pondan,”katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Gangster Rock Kasi Sengat, Romeo Kota dan filem genre aksi romantik, Darah Panas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM
Digital NSTP Subscribe