PELARIAN dan pendatang menunggu di sempadan sebelah Serbia selepas Hungary menutup sempadannya, semalam.
PELARIAN dan pendatang menunggu di sempadan sebelah Serbia selepas Hungary menutup sempadannya, semalam.
Agensi

Budapest: Hungary semalam mengisytiharkan darurat ketika ia bergelut untuk menangani kebanjiran pendatang yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan.

Ia juga bercadang mengerah tentera untuk membantu menguatkuasakan undang-undang baru melarang kemasukan rakyat asing menerusi negara jirannya.

Lebih 9,000 pendatang memasuki Hungary dalam tempoh 24 jam sebelum pihak berkuasa negara itu menutup sempadannya dengan Serbia malam kelmarin.

Kerajaan negara itu mengisytiharkan darurat di dua wilayah selatannya untuk membolehkan tentera dikerah bagi membantu polis mengawal sempadan dan memaksa mahkamah mengutamakan kes membabitkan penangkapan pendatang yang memasuki negara itu secara haram.

Bagaimanapun, penggunaan tentera bergantung kepada kelulusan Parlimen yang akan bersidang minggu depan.

Tindakan itu menyebabkan ratusan pelarian menghabiskan sepanjang malam di kawasan terbuka di sempadan utara Serbia sementara sekumpulan pendatang Syria, Iraq dan Afghanistan ditangkap oleh polis dan tentera sebaik Hungary mula menguatkuasakan undang-undang sempadan barunya.

Sekumpulan pekerja bantuan membawa khemah, makanan dan minuman untuk 500 pendatang itu, kebanyakannya pelarian Syria.

Sejumlah besar mereka yang keliru kerana tidak dibenarkan masuk berjalan mundar-mandir bersebelahan pagar kawat berduri yang siap dibina Hungary baru-baru ini.

Pegawai Hungary juga menghulurkan makanan kepada pendatang itu, tetapi enggan membenarkan mereka masuk.

“Kami tidak mahu makanan. Kami mahu ke Kesatuan Eropah (EU). Kami terlalu letih,” kata seorang pendatang Afghanistan Abbas Mandegar.

Mereka yang berjaya memasuki Hungary sehari sebelum itu dibawa menaiki bas untuk terus dihantar ke Austria.

Hungary yang menjadi barisan hadapan krisis pelarian terburuk pernah melanda Eropah sejak perang Balkan pada 1990-an berikrar untuk menutup pengaliran masuk pendatang menerusi semenanjung Balkan untuk ke utara dan barat Eropah.

Sementara itu, mesyuarat tergempar Menteri Luar EU di Brussels pagi semalam menemui jalan buntu berhubung cara mengagihkan pelarian.

Di Geneva, Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) memberi amaran, kegagalan negara anggota EU mencapai kata sepakat berkait dengan pengagihan pelarian itu mungkin akan menyebabkan lebih ramai pendatang mati lemas di Laut Mediterranean.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM