HAFIZ diiringi pemain piano dalam persembahannya.
HAFIZ diiringi pemain piano dalam persembahannya.
Oleh Norhayati Nordin

Meskipun bergerak solo dalam memperjuangkan muzik ketuhanan dan kerohanian, segala usaha gigih Hafiz Hamidun itu dilihat cukup berbaloi apabila dia berjaya mengumpul kelompok peminatnya.

Malah, tiga album Zikir Terapi Diri yang dihasilkan anak muda berusia 30 tahun ini mencatat jualan memberangsangkan.

Hafiz yang menjayakan persembahan eksklusif di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya menarik lebih 300 peminat setianya menonton persembahan itu.

Hafiz berkata, dia sendiri tidak menyangka persembahan itu mendapat sambutan baik daripada peminatnya, apatah lagi ia adalah persembahan berbayar.

"Saya sangat berpuas hati kerana dapat memberi hiburan ilmiah kepada peminat yang hadir. Maklum sajalah, mereka sanggup membeli tiket demi memberi sokongan kepada saya.

"Harga tiket pula agak berpatutan iaitu antara RM288, RM188 dan RM98. Jadi, sudah semestinya saya perlu memberikan persembahan terbaik kepada mereka.

"Apapun, yang pasti peminat gembira dan terhibur. Malah, ada antara mereka sanggup datang dari Kelantan, Johor dan Pulau Pinang semata-mata untuk menyaksikan persembahan saya," katanya.

Menurut Hafiz, maklum balas yang sangat baik itu bukan saja diperoleh daripada peminatnya, tetapi pihak Menara Kuala Lumpur juga nampaknya tersenyum puas.

Pada malam itu, Hafiz juga mengundang bekas vokalis Raihan, Nazrey Johani membuat persembahan.

Berpuas hati persembahan eksklusif secara solonya itu berjaya, Hafiz yang ditanya mengenai pemilihan Nazrey berkata, penyanyi nasyid terkenal itu memiliki vokal yang mantap.

"Apatah lagi, selain berhibur sudah tentu Menara Kuala Lumpur juga tidak ketingalan menghulurkan sumbangan zakat kepada pertubuhan Al Tahfiz Bayu Syahadah milik Nazrey yang dibangunkan di Ranau, Sabah.

"Sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada Nazrey bagi menampung dana pertubuhan berkenaan. Sebagai saudara sesama Islam, sewajarnya usaha murni Nazrey itu perlu mendapat perhatian dan dibantu," katanya.

Hafiz yang kini aktif berniaga pakaian menerusi butik Mikraj Concept diusahakan berkata, dia seorang yang suka merancang dengan teliti dan dia tidak gemar tergesa-gesa atau mengejar masa.

Apapun, persembahan istimewa yang berlangsung hampir dua jam itu turut diiringi alunan piano.

Hafiz yang muncul pada jam 8.45 malam memulakan persembahannya dengan medley Ya Latif, Robbilzirni, Magfirah dan Taubatan Nasuha.

Pada jam 9.26 malam pula, Nazrey tampil melagukan zikir Bismillah dan lagu Suara Hidayah.

Seterusnya, Hafiz kembali menghiburkan peminatnya dengan alunan zikir dan lagu seperti Hasbi Rabbi, Yazaljalaliwaliqram, Astagfirullahalazim, Ilahilastulilfirdaus, Kasih Padamu (tribute buat Nabi Muhammad SAW) ciptaan Fedhtri Yahya dan Laukana Bainana.

Turut berduet bersama, Hafiz dan Nazrey mendendangkan lagu popular Raihan buat peminat mereka. Apapun, yang pasti persembahan istimewa dan ekskusif Hafiz itu benar-benar berjaya menghiburkan peminat yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:02 AM