ANGGOTA forensik polis memeriksa lokasi dan kandungan botol. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA forensik polis memeriksa lokasi dan kandungan botol. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam keadaan mabuk selain didapati memiliki lapan molotov koktel dalam kereta dipandunya berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Rembia, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, kira-kira 10.30 malam tadi.

Lelaki itu dipercayai bergaduh dengan sekumpulan rakannya dan ditahan polis dari Balai Polis Rembia, di sini, selepas terdengar letupan kecil di R&R itu, dipercayai angkara suspek membaling tiga botol molotov koktel.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, hasil siasatan, polis menemui tujuh botol molotov koktel bertutup menggunakan kertas disusun dalam kotak diletakkan di atas tempat duduk penumpang hadapan manakala sebotol lagi tidak bertutup, di ruang bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Beliau berkata, semua botol itu mengandungi petrol namun motif sebenar suspek memiliki bahan itu masih dalam siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kakisan dan Bahan Letupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 2:21 PM