PENDEKATAN inovatif antara tarikan utama permainan video ‘indie’.
PENDEKATAN inovatif antara tarikan utama permainan video ‘indie’.

HAZRIL MD NOR akui permainan video ‘indie’ mempunyai pendekatan inovatif yang berbaloi dicuba sesiapa saja dahagakan kelainan.

Istilah indie digunakan secara meluas termasuk dalam arena permainan video. ‘Independent’ di sini membawa maksud sesebuah ‘game’ itu dibangunkan oleh individu atau kumpulan kecil tanpa bantuan kewangan daripada pengeluar. Walaupun ada halangan dari segi kewangan, permainan dihasilkan biasanya diberi pendekatan inovatif dan utamakan keperluan pemain.

Grafik diberi keutamaan

Memang diakui, tanpa bantuan kewangan yang mencukupi, tidak mungkin sesuatu projek itu mampu direalisasikan dengan sempurna. Nama hebat seperti Blizzard bukan saja berpengaruh dalam industri, tapi juga mempunyai koleksi ‘game’ yang hebat dari segi grafik. Sedikit sebanyak syarikat ini memberikan saingan tinggi kepada badan bebas yang mengusahakan projek ‘game’.

Justeru, kreativiti itu perlu untuk menarik pemain agar berminat ‘melaburkan’ masa dalam ‘game’ yang ingin dibangunkan. Walaupun visual bukanlah penentu kejayaan, ia tetap menjadi aspek penting perlu diberi perhatian. Seperti kita lihat, terdapat beberapa permainan video ‘indie’ yang mempunyai grafik menarik.

Path of Exile (POE) keluaran Grinding Gear Games terkenal dengan grafiknya yang mengancam. Begitupun, ia lebih dikenali kerana menawarkan pelbagai pilihan dan kebebasan kepada pemain yang tidak gemarkan konsep Diablo 3 keluaran Blizzard. Walaupun ia seakan-akan sama, POE sebenarnya mempunyai konsep unik dan ia percuma. Syarikat ini juga sentiasa mengutamakan pemain dan mendengar suara komuniti.

Genre dan gaya permainan

Apa yang paling dicari dalam sesebuah permainan video? Sudah tentunya setiap pemain inginkan gaya permainan baru dan ‘game’ yang teguh dengan konsepnya. Bagi syarikat ‘game’ indie, hal ini bukanlah mudah. Demi menarik golongan sasar, permainan itu perlu diterapkan aksi dan dicipta mekanisme yang berlainan.

Bagaimanapun, formula ini berjaya direalisasikan melalui ­keluaran Tell Tale Games, syarikat yang meng­adaptasi siri televisyen dan filem kepada ‘game’. Judul The Walking Dead dan Jurassic Park menggunakan konsep ‘cipta pengembaraan anda sendiri’. Manakala Limbo dan Braid pula memberikan imaginasi berlainan di mana pemain berada dalam dunia fantasi dipenuhi ‘platform’.

Minecraft pula ternyata menguji minda pemain yang gilakan kreativiti. Permainan konsep ‘sandbox’ ini pada mulanya dicipta oleh Marcus Persson dan kemudiannya dibangunkan syarikat Mojang. Populariti Minecraft membuktikan ‘game indie’ sememangnya mampu berdiri setanding dengan judul popular lain.

Selain kreativiti, syarikat kecil-kecilan ini juga melaksanakan pendekatan inovatif yang biasanya tidak diteroka sepenuhnya. World of Goo mengajak anda ke dalam dunia digital untuk menyelesaikan masalah fizik. Crow pula memberikan anda peluang bermain sebagai burung gagak dan meneroka dunia yang berkonsepkan tamadun terdahulu. Judul sebegini biarpun tidak terjual dengan jutaan unit, ia memberi pengalaman unik berbanding ‘game’ sedia ada.

Ruangan sesuai

Pendedahan mengenai permainan video ‘indie’ bergantung kepada pelbagai aspek. Pertamanya, kerana sumber kewangan terhad, ia hanya dikenal pasti melalui landasan popular seperti Steam, Appstore dan Google Play. Tertubuhnya aplikasi ini memberikan ruang kepada permainan ‘indie’ menyinar.

Aplikasi ini menyediakan ‘screenshot’ dan maklumat mengenai setiap keluaran justeru ia lebih mudah bagi pemain membuat penilaian sebelum membeli. Selain itu, ia dijual dengan harga mampu milik, tidak seperti kebanyakan permainan video keluaran syarikat gergasi yang mencecah ratusan ­ringgit.

Bagaimana pula permainan ini boleh terus diba­ngunkan dan stabil? Langkah ini diselesaikan melalui sistem transaksi mikro. Pendekatan ini memberi pilihan kepada pemain untuk mendapatkan item yang berkuasa ataupun mengubah penampilan karakter. Transaksi wang perlu dilakukan untuk mendapatkan kesemua barangan ini. Kesannya, ia memberikan keuntungan kepada pembangun.

Terdapat juga permainan video yang dibangunkan menerusi dana terkumpul dari orang ramai. Kickstarter antara ‘platform’ terbesar menyediakan laluan kepada pembangun untuk mendapatkan dana bagi merealisasikan projek permainan video.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:00 AM