SEORANG pelajar di Pontianak diusung selepas pengsan akibat jerebu yang melanda bandar itu, semalam.
BERNAMA

Jakarta: Pencemaran udara di Kota Pontianak, Kalimantan Barat dilaporkan sangat bahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah lebih 1,000 pada jam 2 petang (waktu tempatan) semalam.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, setakat ini pencemaran udara di kota itu yang terburuk di seluruh Indonesia.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di kota itu masih belum mengisytiharkan darurat seperti yang berlaku di Riau kelmarin.

Pencemaran udara di Pekanbaru, Riau dilaporkan semakin menurun walaupun masih berada di tahap sangat tidak sihat dengan bacaan IPU antara 250 dan 300 pada petang semalam.

Stesen televisyen Metronews melaporkan, saksi memberitahu jarak penglihatan di beberapa kawasan di Pontianak tidak sampai 100 meter.

Keadaan itu menyebabkan penduduk hanya tinggal di rumah dan semua kegiatan harian tergendala.

Pihak berkuasa Indonesia masih bergelut memadamkan kebakaran hutan dan belukar di wilayah Kalimantan Barat dan Borneo negara itu.

Asap dari kebakaran itu bukan sahaja menyebabkan jerebu tebal melanda Indonesia, tetapi turut menjejaskan negara jirannya iaitu Malaysia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:01 AM