NAZRI (kanan) melawat konti Matic.fm ketika pelancarannya.
Oleh Suliati Asri


Bagi menyemarakkan sektor pelancongan dan kebudayaan negara, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) dan Twin Holding Sdn Bhd melancarkan radio Internet protocol (IP Radio) pelancongan dan kebudayaan pertama di Malaysia, Matic.fm.

Dilancarkan sebagai inisiatif MaTiC dan MOTAC di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Matic.fm radio berteraskan informasi pelancongan dan kebudayaan yang menggunakan IP Radio.

Ia boleh didengar serta ditonton di seluruh dunia secara dalam talian sama ada menerusi aplikasi mudah alih Tune In di telefon pintar atau laman web www.matic.fm.

Bersiaran setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan tagline ‘Travel With Style’, Matic.fm juga menjadi platform kepada penggiat industri pelancongan dan kebudayaan termasuk agensi kerajaan menghebah dan mempromosikan produk, acara dan aktiviti.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, penubuhan radio IP Matic.fm adalah kerjasama strategik yang baik kerana dapat menyemarakkan sektor pelancongan negara ini.

“Peranan radio online sangat luas kerana ia bukan saja menghiburkan tapi dapat memberi kesedaran mengenai tujuan sesuatu program atau acara yang akan dilaksanakan.

“Justeru, dengan pelancaran Matic.fm, ia diharap dapat memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai industri pelancongan serta kebudayaan dengan lebih baik dalam membantu mencapai matlamat serta wawasan kementerian,” katanya.

Menurutnya, media elektronik termasuk radio medium komunikasi yang sangat berkuasa dan rakyat Malaysia antara pendengar radio tertinggi di rantau ini.

“Hasil kajian Pengukuran Pendengar Radio (RAM) oleh firma Nielsen, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia menghabiskan hampir 18 jam seminggu mendengar stesen radio kegemaran mereka.

“Oleh itu, kewujudan Matic.fm tepat pada masanya kerana pendengar radio memerlukan lebih banyak informasi sambil berhibur,” katanya.

Sementara itu, Presiden TRAM Datuk Azli Halim berkata, bersesuaian dengan konsep NBOS Voluntourism, semua penyampai radio Matic.fm bertugas secara sukarela menerusi segmen masing-masing.

“Beberapa segmen berkaitan pelancongan dan kebudayaan dipertaruhkan bagi menarik pendengar seperti Best Of Malaysia, Anjung Budaya, We Are The Host, Sembang Santai, Citarasa Malaysia, Celebrity Escape dan banyak lagi.

“Komitmen dan semangat semua penyampai radio satu usaha murni dan tanggungjawab sosial yang dizahirkan bagi membantu memajukan industri pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya yang juga seorang daripada penyampai Matic.fm

Antara penyampai radio lain di Matic.fm ialah Ritchie Rahman, Nizal Mohamad, Aziz Desa, Brolan, Arie, Azz, Aishah, Cha Sulaiman, Lia Omey, Char-B, Helmi dan Zam Mui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 8:46 AM