Paul (kiri) menunjukan rampasan 157,500 karton rokok dianggarkan bernilai RM1.5 juta selepas sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor merampas 157,500 karton rokok kretek seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di pantai Tanjung Kelisa, Kota Tinggi, petang semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, rampasan berkenaan dibuat 12 anggota PPM dari Pengerang dan Tampoi pada 4 petang semalam.

"Bertindak atas maklumat penyeludupan rokok semalam, sepasukan anggota melakukan serbuan di kawasan pantai Tanjung Kelisa, Kota Tinggi.

"Ketika tiba di lokasi kejadian didapati beberapa orang sedang memunggah kotak dipercayai rokok seludup dari pantai ke dalam sebuah lori," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Paul berkata, menyedari kehadiran polis, suspek melarikan diri ke dalam hutan dan hilang dalam kegelapan.

"Pemeriksaan mendapati lori dipenuhi dengan muatan kotak rokok kretek yang diseludupan masuk ke Malaysia.

"Lori bersama barang kes dibawa balik ke pejabat PPM Pengerang untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 35 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 4:48 PM