SUAREZ (kanan), Messi (tengah) gagal hadiah Barca kemenangan.
SUAREZ (kanan), Messi (tengah) gagal hadiah Barca kemenangan.
AFP

Rome: Jurulatih Barcelona Luis Enrique mengaku kecewa dengan corak permainan bertahan yang dipamerkan pesaing Kumpulan E Liga Juara-Juara, Roma apabila menyaksikan anak buahnya sekadar mampu seri 1-1, awal pagi semalam.

Sejak kira-kira empat bulan selepas mengatasi Juventus 3-1 untuk muncul juara di Berlin, Barcelona kembali meletakkan harapan tinggi ketika menentang satu lagi kelab Serie A dalam usaha mempertahankan gelaran Eropah sekali gus mengikut jejak AC Milan yang melakukannya pada 1990.

Walaupun menguasai permainan, kelab Catalans itu gagal menghasilkan lebih banyak gol ketika Bayer Leverkusen membelasah BATE Borisov 4-1 dalam satu lagi pertemuan Kumpulan E dan keputusan itu meletakkan kelab Jerman berkenaan di tangga teratas ketika ini.

Dalam aksi yang juga penampilan ke-100 Lionel Messi pada kempen Liga Juara-Juara, kehebatan bintang Argentina itu ditenggelami jaringan menarik Alessandro Florenzi ketika menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-31.

Enrique yang gagal meraih sebarang gelaran ketika bergelar jurulatih Roma pada 2011-2012 berkata: “Saya menjangkakan kami bakal berdepan pasukan yang mengamalkan corak permainan menyerang. Bagaimanapun, mereka memilih untuk bermain sebaliknya.

Beliau menambah: “Saya puas hati dengan cara kami bermain, kami mencipta banyak peluang tetapi apabila lawan berkumpul di dalam kotak penalti, ia bukan sukar untuk anda.”

Penyerang Barcelona Luis Suarez berkata: “Kami kenal dengan kelab Itali. Mereka bertahan secara beramai-ramai justeru membuatkan anda sukar mencari ruang.

“Kami menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang. Mereka menjaringkan gol dari jarak jauh tetapi mereka juga boleh dikatakan bernasib baik.”

Berdasarkan kekuatan Barcelona, Roma yang pernah dibelasah 7-1 oleh Bayern Munich, Januari lalu, menyediakan sebab paling baik untuk mereka bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 8:38 AM