PENDUDUK di sekitar Bandar Dumai, Riau menjalankan aktiviti seharian seperti biasa walaupun keadaan sekitar masih berjerebu. FOTO Ghazali Kori
Oleh Salman Hamat


Riau: Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini di Pekanbaru, sehingga 1 petang tadi berada pada bacaan 507 berbanding bacaan paling teruk sehingga 1,100 Sabtu lalu.

Rakyat Malaysia Hamzah Sidek, 61, yang bekerja di Pekanbaru berkata, keadaan bacaan IPU kerap berubah dan bergantung kepada faktor angin.

"Bacaan IPU pada waktu pagi biasanya agak rendah, namun akan mula meningkat pada tengah hari dan petang.

"Keadaan paling teruk Sabtu lalu, saya sendiri mengalami sakit tekak dan pedih mata akibat jerebu," katanya.

Katanya, dua anaknya juga tidak ke sekolah sejak tiga minggu lalu kerana sekolah ditutup.

Sementara itu tinjauan sekitar Pekanbaru, mendapati penduduk tempatan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng untuk mengelakkan daripada mengalami masalah kesihatan.

Pihak berkuasa tempatan juga memasang papan amaran Indeks Standar Polusi Udara (ISPU) sebagai panduan kepada orang ramai mengenai bacaan terkini IPU.

Di sekitar bandar Pekanbaru pihak berkuasa tempatan memasang empat papan tanda amaran ISPU sebagai panduan orang ramai.

Saksikan dua lagi temubual bersama dua pelajar Malaysia di Riau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 4:42 PM