FOTO Hiasan oleh Melissa Baharudin
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Penggunaan rokok elektronik vape tidak wajar dipromosi sebagai gaya hidup sebaliknya alternatif khusus untuk perokok tegar berhenti merokok.

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA), Allan Foo berkata, sehubungan itu pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berwajib untuk memberi kesedaran kepada umum keselamatan penggunaan rokok elektronik sebagai alternatif rokok tembakau.

Katanya, untuk pemulaan pihaknya melancarkan kempen Melarang Penjualan Barangan Vape kepada di bawah 18 tahun hari ini dengan mengedarkan pelekat khas kepada semua ahli persatuan itu.

"Pengedaran pelekat khas ini adalah salah satu inisiatif MEVTA bagi mengekang penggunaan dan penjualan barangan vape untuk bawah umur," katanya ditemui pada pelancaran kempen itu di sini.

Menurut Allan Foo, pihaknya berpendapat vape adalah satu kaedah alternatif yang dirasakan dapat membantu perokok tegar yang sekian lama mencuba membuang tabiat buruk.

"Kebelakangan ini vape mendapat pandangan negatif dari masyarakat umum khususnya apabila penyalahgunaan di kalangan murid-murid sekolah ," katanya.

Katanya, dengan pengedaran pelekat itu diharap penjual barangan vape bertanggungjawab dalam penjualan vape kepada mereka di bawah umur.

"Pengguna vape juga disaran beretika ketika menghisap vape. Elakkan di tempat awam seperti pusat beli-belah, panggung wayang dan tempat tertutup.

"Anggap wap vapor seperti asap rokok walaupun ia lebih selamat daripada rokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 5:06 PM