MENTERI Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tengah) dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya (lima dari kiri) beramah mesra bersama pemenang sempena Majlis Anugerah Media Kesihatan 2015 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Tiga wartawan Media Prima rangkul tempat pertama, manakala dua lagi mendapat tempat saguhati dalam majlis Anugerah Media Kesihatan 2015 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, di Hotel Sri Pasific, di sini malam tadi.

Pemenang terbabit, adalah Mohd Izzul Iswat Mohd Azman dari TV3 yang merangkul tempat pertama bagi Anugerah Program terbaik kategori televisyen menerusi tajuk Maharaja Bawah Tanah dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta sijil.

Manakala bagi Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Akhbar kategori Bahasa Melayu pula dimenangi oleh Mona Ahmad dari Berita Harian dengan artikel bertajuk Madu Alternatif Rawat Asma yang menerima hadiah wang tunai RM3,500 serta sijil.

Pemenang bagi kategori akhbar Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Tharanya Arumugam dari NST dengan artikel yang berjudul NST Unveils Mental Health Issues Among Malaysia's young.

Sementara itu, Irin Putri Azmi dari TV3 dan Kasmiah Mustapha wartawan NST mendapat tempat saguhati bagi ketegori televisyen dan akhbar Bahasa Inggeris.

Seramai 239 penyertaan diterima membabitkan semua media iaitu televisyen, radio, akhbar dan majalah dari pelbagai bahasa dengan 13 kategori yang dipertandingkan

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr S Subramaniam terbabit turut dihadiri Timbalannya, Dr Datuk Sri Hilmi Yahaya dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Datuk Noor Hisham Abdullah.

Majlis terbabit diadakan bagi memberi penghormatan dan pengiktirafan rasmi kepada pihak media di negara ini yang membantu KKM dalam memastikan masyarakat menerima maklumat secara meluas khususnya berkaitan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:14 PM