Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menganggap isu perselisihan faham membabitkan Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen dengan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tidak sepatutnya berlaku dan berharap perkara itu tidak berulang.

Ini kerana, jelas Norza, selaku pemain profesional, Chong Wei wajar menerima segala bentuk sokongan dalam usahanya untuk mempertingkatkan prestasinya.

“Saya harap Frost memahami kehendak Chong Wei. Apapun saya sudah mengambil tindakan dengan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, kemungkinan besar mereka akan berjumpa pada 30 September ini.

“Tujuannya adalah untuk saya mendapatkan penjelasan daripada Frost berkaitan isu Chong Wei ini serta perkara lain membabitkan kejurulatihan dan latihan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan.

Frost menerusi laporan Arena Metro semalam mengaku wujud sedikit perselisihan pendapat bersama Chong Wei selepas beliau tidak menyediakan rakan sepelatih untuk jaguh negara itu mempersiapkan diri bagi menghadapi Siri Super Terbuka Jepun minggu lalu.

Chong Wei sebelum itu memberi reaksi tidak mengiyakan atau menafikan mempunyai masalah dengan Frost selepas tersingkir awal di Terbuka Jepun serta Terbuka Korea.

Sementara itu, Norza tetap yakin Chong Wei masih menjadi prospek utama Malaysia di Sukan Olimpik Rio tahun depan meskipun tersingkir awal di kedua-dua saingan itu.

“Dia sedang melalui proses untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan. Saya yakin dia akan berada di tahap permainan sebenar apabila berlangsungnya Sukan Olimpik nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:04 AM