Johor Bahru: Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) menegaskan bukan tugas Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk membendung keganasan bola sepak di negara ini.

Sebaliknya Tunku Ismail berkata, tugas FMLLP adalah memastikan setiap pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan memperoleh bantuan kewangan menerusi penajaan selain pemberian hak penyiaran.

“Saya ada satu soalan kepada Kevin Ramalingam dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), adakah mereka berniat untuk membantu bola sepak tanah air dengan mengurangkan beban setiap pasukan yang bertanding atau mereka lebih gemar membuat duit untuk diri masing-masing.

“Sampai sekarang saya rasa dia (Kevin) tidak berani berdepan dengan saya. Mungkin lebih baik dia datang ke Johor untuk memberi penerangan kepada saya kerana FAM harus faham, Liga M dimiliki ahli gabungan dan bukan mereka punya.

“Jika tidak ada pasukan bertanding dalam Liga M, sudah pasti tiada FAM dan hakikat itu mereka kena faham,” katanya.

Malah Tunku Ismail juga menegaskan penswastaan Liga M tampak masih samar kerana banyak lagi pasukan yang belum bersedia.

“Persoalannya sama ada FAM, FMLLP dan penaja sanggup bekerjasama membantu setiap pasukan,” katanya.

Katanya, tugas FMLLP bukan membasmi keganasan bola sepak dan juga rasuah, sebaliknya menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk melaksanakan pembasmian itu.

Beliau menambah, tugas hakiki FMLLP adalah membantu pasukan bertanding menerusi pemberian hak penyiaran.

“Seperti yang pernah dikatakan pemberian hak penyiaran kepada persatuan negeri atau kelab sepatutnya di antara 70-80 peratus dan perkara ini sudah dipratikkan di Eropah. Saya sendiri tidak tahu hala tuju FMLLP malah musykil. Saya harap mereka dapat memberi penjelasan bukan saja kepada saya tapi juga setiap ahli gabungan.

“Bagi menguruskan Liga M, hanya RM25 juta diperlukan, tapi kenapa sehingga RM80 juta. Itu yang saya persoalkan dan apa yang diharapkan, FAM perlu lebih telus dan tidak berselindung.

“Apa yang diperjuangkan (untuk mendapatkan hak penyiaran) bukan untuk PBNJ tapi bagi membantu persatuan negeri dan kelab.

“Walaupun kita ada penaja namun dengan wang daripada hak penyiaran itu, ia dapat membantu terutama bagi mengurangkan beban persatuan negeri dan kelab,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:05 AM