Kuala Lumpur: “Memang apa yang dilakukan segelintir penyokong Selangor salah, tapi masalahnya FAM sendiri tidak dapat mengawal penyokong dalam perlawanan kelolaan mereka sendiri,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Rosman Ibrahim mengenai tindakan badan induk itu menjatuhkan hukuman denda RM31,250 kerana kekecohan dicetuskan peminat Red Giants.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapatkan persatuan itu bersalah susulan tindakan penyokong mereka membakar dan melontar mercun dan suar ke dalam padang serta mempamerkan slogan menghina dan berunsurkan politik ketika aksi Liga Super antara Selangor dengan Pahang di Stadium Shah Alam, pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan pertama menerusi Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM 2015, mereka didenda RM26,250, manakala bagi kesalahan kedua yang juga melanggar artikel sama, RM5,000 dikenakan.

Berikutan hukuman terbaru itu, Selangor sudah ‘menderma’ lebih RM180,000 kepada FAM kerana salah laku penyokong mereka sejak Piala Malaysia tahun lalu.

Ketika FAM menjatuhkan hukuman kepada persatuan naungan mereka, badan induk bola sepak tanah air itu juga kini berdepan hukuman berat FIFA berikutan kekecohan Ultras Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam 8 September lalu.

Menurut Rosman, beliau mengecam tindakan segelintir penyokong yang mempunyai agenda tertentu untuk melakukan kekecohan sehingga menyebabkan pihak persatuan terpaksa menanggung akibat.

“Semua ini dilakukan sesetengah pihak yang mempunyai agenda tertentu dan pihak persatuan yang terpaksa menanggungnya. Memang mereka ini ‘lebih sayangkan’ FAM. Mereka macam mahukan persatuan negeri beri duit kepada FAM.

“Contoh denda kain rentang yang berunsurkan politik, ia tidak ada kena mengena dengan FAM, jadi kenapa pula kami didenda sehingga RM5,000.

“Kami sudah tidak tahu bagaimana nak menjelaskan kepada FAM, cuma kami akan berusaha mengetatkan kawalan serta memohon denda ini dikurangkan,” katanya kepada Arena Metro.

Turut merasa perit dengan keputusan terbaru Jawatankuasa Tatatertib FAM semalam adalah Persatuan Bolasepak Sarawak yang didenda RM80,000 atas sikap buruk penyokong mereka yang mencetuskan kekecohan dalam tiga perlawanan Liga Malaysia.

Malah, lebih teruk skuad Ngap Sayot itu terpaksa beraksi tanpa penyokong dalam dua perlawanan, namun kemungkinan akan dikurangkan kepada satu perlawanan saja jika tiada insiden buruk membabitkan penyokong mereka dalam tempoh enam bulan.

Penyokong Sarawak melakukan kekecohan dengan membakar dan melontar mercun, suar dan bom asap ke kawasan persekitaran padang Stadium Negeri Kuching serta merosakkan kenderaan polis dan membaling batu ke bas pasukan pelawat pada perlawanan Piala Malaysia menentang Perak pada 30 Ogos 2014, Liga Super menentang Perak (20 Jun 2015) dan FELDA United (27 Jun 2015).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:09 AM