ANTARA produk di The G Hard.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Dek atau papan selaju (skateboard) perlu berada dalam keadaan terbaik ketika digunakan baik untuk rekreasi mahupun pertandingan.

Dulu memiliki dek papan selaju menelan belanja tinggi kerana tiada jenama tempatan dan semuanya import. Kini pelbagai pilihan jenama tempatan menghasilkan papan selaju pada harga mampu milik.

Menurut pemilik The G Hard, Johary Fitry Khairruddin, di kedainya lebih 20 jenama tempatan dijual termasuk jenamanya The G Hard.

“Sejak tiga tahun lalu, pelbagai jenama tempatan mula mendapat perhatian pemain papan selaju dan di kedai saya ada lebih 130 rekaan bagi 20 jenama.

“Malah The G Hard sendiri mempunyai lebih tiga rekaan. Seperti papan selaju luar negara, material papan tempatan juga menggunakan kayu maple.

“Saiz papan baik kelebaran dan panjang juga ada sedikit perbezaan kerana ia direka bersesuaian mengikut saiz fizikal pemakainya.

“Malah kualiti papan selaju tempatan juga memuaskan apabila menggunakan teknologi ‘layer fiber’,” katanya.

Harga ditawarkan bermula RM150 dan ke atas bergantung kepada rekaan serta jenama. Bagi pelanggan yang baru berjinak-jinak dalam sukan papan selaju ini, dia menawarkan servis khidmat runding bagi pembelian papan sesuai.

Selain itu, The G Hard menyediakan tutorial atau kelas membabitkan sukan berkenaan menerusi laman sosial Instagram mahupun Facebook The G Hard atau mengunjungi kedai di Kiosk 1, Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:00 AM