Dalam pada itu, sekalung tahniah buat pasangan Lisa Surihani, 29, dan Yusry Abdul Halim, 42, atas kelahiran bayi perempuan mereka pada 15 September lalu.

Lisa selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, jam 11.44 malam. Kelahiran bayi perempuan itu juga anugerah Allah yang sekian lama dinantikan pasangan ini yang berkahwin pada 23 Februari 2012.

Sejak berkahwin, Lisa dan Yusry mendapat jolokan pasangan selebriti paling romantis dan peminat tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata penyeri rumah tangga mereka berdua.

Berita ditunggu-tunggu itu tiba Januari lalu apabila Lisa mengesahkan desas-desus kehamilannya tetapi enggan bercerita lanjut kerana mengikut pesanan orang tua supaya tidak menghebohkannya pada peringkat awal.

Sepanjang kehamilannya, Lisa juga mengurangkan aktiviti seninya.

Pasangan ini berkongsi gambar anak mereka secara eksklusif dengan Astro dua hari selepas kelahirannya manakala nama anak mereka pula akan diumumkan selepas tujuh hari.

Tahniah juga buat pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, 32, yang berangkat ke Tanah Suci Makkah menunaikan haji, semalam. Peluang menunaikan haji pada usia muda memang impian ramai orang tetapi tidak ramai yang bertuah seperti Nabil yang berpeluang menjadi tetamu Allah di Baitullah (Rumah Allah).

Peluang menunaikan haji atau umrah tidak boleh diterima semua orang. Ada yang berkemampuan dari segi wang ringgit tetapi belum ada rezeki. Ada yang menanam impian hendak ke sana tetapi sampai usia senja, belum berpeluang kerana tiada kemampuan wang ringgit. Ia memang bergantung pada rezeki dan atas kehendak Allah SWT.

Kata Nabil, peluang itu juga berkat doanya mahu menjadi tetamu Allah lagi selepas menunaikan umrah sebelum ini. Malah Nabil tidak pernah menyangka peluang menunaikan Rukun Islam kelima itu datang ketika usianya 32 tahun.

Khamis ini, seluruh umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidiladha atau turut dikenali sebagai hari raya haji dan hari raya korban sempena umat Islam menjalani ibadah haji di Makkah diikuti ibadah korban memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS menunaikan perintah Allah untuk mengorbankan anaknya begitu juga kesabaran anaknya, Nabi Ismail AS dalam memenuhi perintah Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:03 AM