ANTARA babak menarik dalam Man Rider.
AZWAN melakonkan watak Leman.
ANTARA babak menarik dalam Man Rider.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Beberapa tahun dahulu, teknik imej janaan komputer (CGI) dianggap asing dalam industri perfileman atau drama tempatan kerana membabitkan kos tinggi.

Kini, teknologi komputer mencapai tahap yang tinggi apabila banyak kos boleh dikurangkan dan pencapaian CGI juga agak baik.

Biarpun tidak setanding filem bajet besar keluaran Hollywood, teknik CGI yang digunakan penerbit tempatan masih mampu dihasilkan dengan kualiti yang baik.

Justeru, TV9 akan menyiarkan telefilem komedi aksi menerusi slot Skrin Di 9 berjudul Man Rider yang menampilkan teknik CGI.

Telefilem arahan Jet Lee dan Indra Putra Jamin yang membariskan pelakon seperti Azwan Kombos, Zara Zya, Shamsul Ghau Ghau, Hamdan Senario dan Ucop Cecupak ini akan menemui penonton di TV9 jam 8.30 malam ini.

Gandingan Jet Lee bersama Indra Putra yang juga Pengarah Kesan Khas CGI daripada proses penulisan skrip sehinggalah ke lokasi penggambaran berjaya menghasilkan drama yang menarik dan berkualiti untuk tontonon penonton.

Man Rider mengisahkan mengenai Leman (Azwan Kombos), seorang anak yatim piatu yang sentiasa menyimpan impian untuk menjadi adiwira sehingga terbawa-bawa ke dewasa.

Impian Leman akhirnya dimakbulkan apabila motosikal kapcai milik datuknya, Tok Ayah diresapi kuasa makhluk asing sehingga mampu terbang, berkata-kata, mempunyai kuasa ajaib dan mempunyai perasaan seperti manusia biasa.

Menariknya, telefilem terbitan Uniutama Management Holdings Sdn Bhd ini juga menampilkan dua pelakon utama bukan manusia iaitu Rider dan Passola di mana kedua-duanya motosikal ajaib yang diresapi kuasa makhluk asing yang sebenarnya dikawal sebuah pertubuhan rahsia iaitu Pertubuhan ke-7 (P7).

Konflik sebenar bermula apabila Leman diarahkan seorang lelaki misteri yang muncul dalam bentuk hologram meminta dia mencari Fatamorgana (Zara Zya) sekiranya dia mahu tahu lebih lanjut mengenai asal usul Rider.

Selepas bertemu Fatamorgana dan Passola, Leman terus berusaha merungkai persoalan demi persoalan yang membawanya kepada konflik dalaman Pertubuhan ke-7 (P7) yang sedang mengesan pembelot dalam kalangan mereka.

Kemunculan Dr Husin (Shamsul Ghau-Ghau) yang menjadi misteri dan masalah Rider yang jatuh cinta dengan Passola membuatkan plot perjalanan telemovie ini menjadi lebih menarik dan pasti menghiburkan penonton.

Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji berkata, proses menghasilkan sesebuah drama atau filem berkonsepkan CGI dengan menggunakan teknik VFX memerlukan kerja yang teliti bermula daripada praproduksi sehinggalah ke proses penggambaran.

"Kita tidak dapat mengukur kekuatan CGI itu dari­pada kos yang digunakan kerana kos CGI sebuah telefilem tak dapat dibandingkan dengan kos CGI untuk filem.

"Kos CGI sebenarnya terlalu tinggi dan memgambil masa lama untuk penghasilannya. Namun, beberapa idea atau cara dibuat untuk memastikan ia tak terlalu kasar kesan CGI nya.

"Sekiranya pengarah yang melakukan kerja CGI tak bekerjasama dengan pengarah lain, maka kita akan menghadapi kesukaran sewaktu melakukan proses komposit dan menghasilkan imej kesan khas daripada komputer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:12 AM