Shah Alam: Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) hanya mengagihkan sebanyak 1,500 tiket kepada penyokong Malaysia bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF menentang Myanmar dan Thailand di Stadium Jalan Besar dengan harga lebih mahal berbanding penyokong pasukan lawan.

Penyokong Harimau Malaya hanya dibenar membeli tiket tempat duduk berbumbung (grandstand) dengan harga S$26 (RM68) manakala penyokong Myanmar dan Thailand boleh membeli tiket tempat duduk terbuka sebanyak 1,000-1,300 keping yang diperuntukkan kepada mereka dengan harga S$18 (RM47).

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan FAS itu dibuat atas faktor keselamatan penyokong di stadium itu yang hanya boleh memuatkan 6,000 penonton berbanding kebiasaannya 8,000 kerana sedang dibaik pulih.

“Kami sudah membuat rayuan kepada FAS namun tidak berjaya kerana mereka tetap dengan keputusan penyokong Malaysia hanya dibenarkan membeli tiket grandstand bagi mengelakkan kedua-dua penyokong bertembung.

“FAS juga hanya akan mengagihkan tiket sebanyak 1,500 tiket bagi perlawanan dengan Myanmar pada 23 November dan Thailand 26 November walaupun kawasan grandstand itu boleh memuatkan 3,000 penonton. Ini kerana baki tiket grandstand itu akan diagihkan kepada pihak penaja, tetamu kenamaan dan untuk dijual sendiri oleh FAS kepada penyokong tempatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Hamidin berkata, FAM sudah membuat rayuan untuk meminta pengurangan harga tiket itu yang akan dijual pada Rabu ini termasuk 2,000 tiket perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF menentang pasukan tuan rumah Singapura di Stadium Nasional, Kallang pada 29 November berharga S$28 (RM72).

“Kami sudah meminta diskaun harga tiket kepada penyokong Malaysia namun kami akan tahu keputusan FAS esok (hari ini) apabila mereka menyerahkan tiket kepada FAM. FAM bercadang untuk menjual kesemua tiket di Stadium Shah Alam Rabu ini jam 3 petang sebelum perlawanan Malaysia dengan Syria.

“Dan bagi tiket perlawanan dengan Singapura, pihak FAS hanya memperuntukan 2,000 tiket buat permulaan dan kemungkinan jumlah itu akan ditambah. Memang FAM sendiri tidak puas hati namun atas sebab beberapa kekangan saya harap penyokong Harimau Malaya dapat menerimanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:13 AM