Skip this ad x
PELAN Xpax Magic SIM baru yang dilancarkan. FOTO Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd akan memperkenal tiga produk menjelang akhir tahun, dan agresif memasarkan Xpax Magic SIM bagi mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran, terutama dalam segmen belia.

"Produk baru mungkin dalam bentuk segmen pasca bayar, prabayar dan kandungan. Ia bergantung sepenuhnya kepada minat pelanggan. Namun, buat masa ini kami menyaksikan penggunaan besar segmen Internet," kata Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Zainal di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penawaran Internet percuma Magic SIM Xpax, Burung Hantu.

Internet percuma Burung Hantu membolehkan pengguna melayari tanpa henti antara 1 pagi dan 7 pagi, dengan melanggan pelan Internet mingguan atau bulanan, bermula daripada RM10.

Zalman berkata, pelan prabayar, Xpax Magic SIM, yang diperkenal pada Jun lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia.

"Sejak pelancaran Xpax Magic SIM, kami menyaksikan momentum positif peningkatan pelanggan. Kami mahu mencapai keputusan yang lebih baik untuk segmen prabayar dan akan terus berusaha lebih keras. Kami akan memperkenal tiga lagi ciri khusus pelan prabayar," katanya.

Sehingga suku kedua berakhir 30 Jun, 2015, pelanggan asas Celcom berjumlah 12.34 juta, termasuk 9.49 juta pengguna prabayar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 4:44 PM