Milan: Inter Milan mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi Serie A musim ini dengan menewaskan Chievo kelmarin manakala juara bertahan, Juventus melakar kejayaan buat kali pertama apabila mengatasi Genoa sambil Francesco Totti meledak gol ke-300 buat AS Roma.

Jaringan babak pertama oleh Mauro Icardi di Chievo membolehkan Inter menang 1-0 sekali gus menjadikan skuad kendalian Roberto Mancini itu muncul satu-satunya pasukan yang mengumpul 12 mata hasil empat perlawanan setakat ini.

Juventus mencatat kemenangan dan mereka berterima kasih kepada gol sendiri penjaga gawang Eugenio Lamanna selain penalti yang disempurnakan Paul Pogba.

Totti yang beraksi buat musim ke-24 bersama satu-satunya kelab profesional, membantu Roma seri 2-2 dengan Sassuolo.

Napoli mencatat kemenangan pertama dalam aksi liga musim ini dan sejak dibimbing jurulatih baru, Maurizio Sarri mereka membelasah Lazio 5-0 menerusi dua jaringan Gonzalo Higuain selain Allan, Lorenzo Insigne serta Manolo Gabbiadini menghasilkan satu gol.

Pemain Torino Fabio Quagliarella menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Sampdoria manakala Fiorentina melonjak ke tangga ketiga Serie A selepas menang 1-0 ke atas Carpi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:38 AM