MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Nur Saliawati Salberi


Alor Gajah: Lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan lori kontena di persimpangan lampu isyarat Gangsa-Durian Tunggal, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Low Sang Hee, 70, dari Felda Hutan Percha, di sini, maut di tempat kejadian.

Sumber polis berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Cheng menghala ke Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) arah Ayer Keroh.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan secara tiba-tiba dan terlanggar bahagian kiri lori sebelum terjatuh.

"Mangsa yang cedera di bahagian kaki, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 10:33 AM