KEADAAN kereta yang terbabas ke dalam parit. FOTO ihsan Polis
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Machang: Tiga individu termasuk dua warganegara Bangladesh maut selepas kereta terbabas masuk ke dalam parit dan melanggar tembok konkrit di Kilometer 51.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Pek, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 10 pagi itu, pemandu, Fadilah Mohamad, 30, bersama dua penumpang warganegara Bangladesh, Faruque Hossain, 46, dan seorang wanita yang tidak dapat dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Fadilah dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Akibatnya kenderaan itu masuk ke dalam parit dan melanggar tembok konkrit.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta dan penumpang hadapan maut di lokasi kejadian. Manakala penumpang belakang (wanita Bangladesh) meninggal dunia di Hospital Machang," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 1:58 PM