PETIKAN video perlumbaan haram yang viral. Ihsan pembaca
PETIKAN video perlumbaan haram yang viral. Ihsan pembaca
Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Beberapa video yang memaparkan mat rempit terjatuh beramai-ramai dalam satu perlumbaan haram di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dekat sini awal pagi semalam tidak membabitkan kematian seperti mana tersebar di media sosial.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, sebaliknya mangsa hanya mengalami kecederaan.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu mat rempit terbabit berlumba di lebuh raya itu sebelum terbabit kemalangan dengan kereta.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan empat mat rempit terjatuh namun polis hanya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemandu kereta berkenaan.

"Pemandu kereta terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Klang Selatan petang tadi.

"Polis masih menjalankan siasatan terutama mengesan mereka yang terbabit dengan perlumbaan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu wakil penganjur ketika dihubungi turut menyatakan tiada kematian dalam kemalangan itu sebaliknya empat pelumba terjatuh dan cedera.

Katanya, gambar yang menjadi viral itu sebenarnya kemalangan di Lebuhraya Persekutuan sebelum ini.

"Video yang menjadi viral itu memang betul tetapi gambar terbabit adalah kemalangan beberapa bulan lalu di Lebuhraya Persekutuan dan tak sangka ia menjadi viral," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 8:31 PM