Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) memotong pulut kuning simbolik perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam. - Foto SYAHIRAH ABDULLAH
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) memotong pulut kuning simbolik perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam. - Foto SYAHIRAH ABDULLAH

Kuala Terengganu: Pelajar tingkatan tiga dari Seberang Takir, Kuala Nerus yang nekad berhenti sekolah selepas video memaparkan dia dipaksa mencium kaki seorang perempuan menjadi viral di laman sosial baru-baru ini, akan kembali bersekolah minggu depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelajar perempuan yang dikenali sebagai Mia itu akan menyambung pelajaran

yang terkandas di sebuah sekolah di Kemaman dan pihak Yayasan Terengganu (YT) diarah menguruskannya termasuk asrama.

Beliau yang sempat meluangkan masa bertemu pelajar itu di rumahnya Sabtu lalu, mendapati anak yatim berkenaan menunjukkan minat tinggi untuk belajar tetapi terhalang akibat rasa malu diejek rakan-rakan.

"Saya terkejut bila dimaklumkan tentang kes pelajar berhenti sekolah, saya tidak boleh berkompromi dalam isu pendidikan lebih-lebih lagi kejadian ini berlaku di kawasan saya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

"Sebagai jaminan untuk Mia, saya juga minta pihak YT membuat pemantauan di samping memberi makluman awal kepada pihak sekolah agar kita dapat mengelak

gangguan terhadapnya kerana kita tidak mahu kejadian di luar dugaan berulang lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari

Wanita peringkat negeri di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8 dan 9 September lalu, Mia mendakwa dipaksa melakukan perbuatan itu dipaksa oleh ibu kepada perempuan berkenaan selepas berlaku perselisihan faham antara mereka. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 9:39 PM